UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pusat Islam cadang tubuh Hub Latihan Kecemerlangan Profesional Islam

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Rozita Mohd Rejab/UUM Today

SINTOK, 23 Januari – Cadangan penubuhan Hub Latihan Kecemerlangan Profesional Islam di Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) dijangka dapat memberi banyak manfaat sebagai pusat menimba ilmu pengetahuan, pusat bimbingan dan ruang latihan pekerjaan.

Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, melalui kepakaran yang dimiliki oleh Pusat Islam dan kerjasama industri yang ada, diyakini mampu meneraju agenda latihan kecemerlangan profesional Islam bukan hanya di peringkat UUM malah juga di peringkat nasional.

Katanya, menerusi komitmen tinggi dan kerja keras semua staf, mampu merealisasikan impian menjadi Hub Latihan Profesional Islam yang tersohor di wilayah utara ini.

“Pusat Islam bakal mempunyai sembilan hub yang bersifat ‘program base’, ‘training base’ dan ‘business base‘ yang akan menyokong aktiviti latihan profesional agar dapat diuruskan dengan baik dan lebih bersistematik.

“Di samping Pusat Islam menyediakan latihan secara teori, ia juga turut menyediakan tempat untuk latihan secara praktikal kepada peserta menjalani kursus dengan lebih efisyen,” katanya di Bengkel Kecemerlangan Organisasi dan Profesionalisme di EDC UUM pada 16 Januari lalu.

Di antara hub-hub yang akan diwujudkan adalah Hub Keusahawanan dan Hub Latihan (Sijil Profesionalisme Imam Bilal, Kursus Pengurusan Jenazah, Kursus Sembelihan, Kursus Bestari Solat, Huffaz Management, Kursus Perubatan Islam, Sijil Pemantapan Thoharah dan Sijil Eksekutif Kepimpinan Islam dan Komuniti (SKIL).

Sementara itu, Ketua Bahagian Pentadbiran & Kewangan Pusat Islam, Zar Ei Zakaria berkata, beliau yakin dan percaya Pusat Islam mampu menerajui Hub Kecemerlangan Profesional Islam ini untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang-bidang berkaitan.

Inisiatif ini akan digiatkan melalui kerjasama di antara Pusat Islam dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Jabatan Mufti Negeri Kedah, Giat MARA Kedah dan Kolej Komuniti Kedah serta beberapa agensi yang lain.

Program-program yang bakal ditawarkan berupa perkhidmatan bengkel, kursus pendek dan latihan berkaitan keusahawanan, keilmuan, kemasyarakatan dan kekeluargaan kepada pelajar, staf dan masyarakat umum.