Gambar Hairul Nizam Zahari dan Mohd Fuad Hamid/UUM Today
SINTOK: Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dinasihatkan agar menjaga adab dan memperbaiki tingkah laku sehingga mencapai kesempurnaan.
Raja Muda Kedah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Pro-Canselor UUM bertitah agar suasana sekarang dijadikan sebagai titik perubahan kepada sikap yang lebih positif.
“Sentiasalah menjaga adab walau di manapun kita berada dan perkayakanlah diri kita dengan sifat empati kerana kita sentiasa perlu berurusan dengan orang lain dalam menjalani kehidupan seharian.
“Adab adalah kata dasar kepada peradaban. Masyarakat berperadaban mestilah masyarakat yang mempunyai budaya hidup yang tinggi, pandai menghormati orang lain, tutur katanya berseni dan tentunya orang itu akan dihormati dalam masyarakat,” titahnya ketika Sesi Ke-2 Majlis Konvokesyen Ke-35 UUM di dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Pada sesi kedua ini, seramai 460 graduan terdiri Doktor Falsafah dan Sarjana telah menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah.
Baginda turut mengingatkan graduan agar menjadi warganet yang bertanggungjawab dan beradab supaya apa yang dimuat naik tidak akan menyinggung atau memberikan kesan negatif kepada masyarakat atau orang lain.
“Di zaman kecanggihan media sosial kini, akses kepada maklumat dan berita menjadi semakin mudah. Setiap orang boleh membuat posting, memuat naik video dan memberikan komen masing-masing tanpa halangan.
“Kandungan yang dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial kini haruslah dipastikan sahih dan tepat sebelum dipaparkan untuk tatapan umum,” titahnya.

Pro-Canselor turut memetik Charles Fadel, Pengasas dan Pengerusi ‘Center for Curriculum Redesign’ bahawa kemahiran insaniah (soft skills) merupakan sebahagian daripada pendidikan abad ke-21 yang sangat penting.
“Majikan kini bukan sekadar melihat kepada kelulusan malah lebih cenderung memilih graduan yang mempunyai kompetensi menyeluruh. Graduan juga perlu lebih berani mengambil risiko keluar dari zon selesa dengan mencabar keupayaan diri untuk menjadi lebih baik daripada sekarang.
“Graduan tidak perlu takut untuk melakukan pekerjaan di luar bidang pengajian. Apa yang penting, graduan perlu bersedia dan berusaha memperbaiki diri bagi memastikan setiap cabaran kerja yang dilakukan dapat diatasi dengan baik,” titahnya.
Tuanku Pro-Canselor percaya graduan UUM adalah berintegriti, berempati, berinovasi dan berdaya saing tinggi yang terbentuk hasil daripada pendekatan proaktif dan transformatif UUM dalam membangunkan aspek akademik, memantapkan karakter dan memperkayakan kemahiran insaniah pelajar di sepanjang pengajian.

Graduan turut diingatkan agar memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang relevan dengan keperluan syarikat multinasional dan syarikat antarabangsa bagi mereka yang ingin mendapatkan peluang pekerjaan di syaraikat berkenaan.
Tuanku Pro-Canselor dalam majlis tersebut juga menyokong cadangan UUM untuk menjana pendapatan tambahan, di samping mempromosikan UUM menerusi ‘edu-tourism‘ bagi menarik pelancong ke utara Semenanjung Malaysia.
Malah, turut mengajak semua alumni UUM di seluruh negara dan alumni di luar negara untuk kembali melawat UUM.