UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Rakyat Malaysia dijangka berpuasa esok

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Google

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini dijangka akan menyambut bulan Ramadan mulai esok.

Anak bulan dijangka kelihatan pada petang hari cerapan hilal di seluruh negara pada hari ini.

perkara ini dimaklumkan oleh pakar falak terkenal, Datuk Dr. Azhari Mohamed yang juga ahli jawatankuasa falak Wilayah Persekutuan.

Azhari berkata, secara pengiraan, kesemua 29 lokasi akan memenuhi imkanur rukyah atau kriteria penampakan hilal terus dari lokasi pencerapan buat pertama kali selepas enam tahun.

“Berdasarkan hisab atau kaedah kiraan, saya berpendapat ada kemungkinan lima lokasi pencerapan akan dapat melihat anak bulan Ramadan hari ini,” jelasnya.

Sejumlah 29 lokasi diwartakan oleh pihak Majlis Raja-Raja untuk proses cerap anak bulan Ramadan petang ini untuk penetapan tarikh permulaan bulan puasa 1444 Hijrah.

la selaras dengan keputusan mesyuarat kali ke-92 pada 1972 lalu yang bersetuju supaya pengisytiharan 1 Ramadan di seluruh Malaysia berdasarkan rukyah atau cerapan hilal.

Malaysia juga menjadi antara beberapa negara di dunia yang mengamalkan penetapan tarikh Hijrah dengan turut sama menggunakan kaedah hisab atau pengiraan sejak 1972.

Azhari berpendapat kemungkinan lima lokasi pencerapan dapat melihat anak bulan Ramadan pada hari ini.

Mengulas lanjut, Azhari yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia walau bagaimanapun enggan mendedahkan lima lokasi yang ‘bertuah’ tersebut.

Sebaliknya, beliau dalam nada optimis berkata, secara pengiraan, kesemua 29 lokasi akan memenuhi imkanur rukyah atau kriteria penampakan hilal terus dari lokasi pencerapan.

“Untuk titik paling barat di Malaysia iaitu Pulau Perak di Kedah, altitud atau ketinggian ketara bulan itu ketika proses matahari terbenam ialah lapan darjah 28 minit,” tambah beliau.

Sementara jarak lengkung pusat bulan ke pusat matahari pula ujarnya, dijangka sembilan darjah 17 minit dan keadaan tersebut, sekali gus sudah mencukupi syarat imkanur rukyah.

Kriteria itu mula diguna pakai ketika penentuan tarikh 1 Muharam 1443 Hijrah pada 2021 yang menetapkan altitud tidak kurang tiga darjah dan lengkung lebih enam darjah 24 minit.

Sehubungan itu, Azhari berpendapat bahawa umat Islam di seluruh Malaysia akan dapat mula berpuasa fardu secara rasmi serentak pada 23 Mac nanti dan bukannya 24 Mac.

Kali terakhir penampakan anak bulan Ramadan ialah pada 2017 menerusi stesen pencerapan di Labuan dan sebelum itu pada 2012 yang juga berlaku di tempat sama.

Malahan, tahun lepas, lokasi ini mencipta sejarah apabila tanpa diduga berjaya mencerap hilal Syawal yang menyebabkan Hari Raya Aidilfitri ditetapkan pada keesokan harinya.

Situasi yang tidak dijangka banyak pihak itu turut mencetuskan suasana kelam kabut umat Islam melakukan persiapan kerana ramai menyangka perayaan tersebut disambut lusa.

Kejayaan Labuan dalam mencerap anak bulan juga menyaksikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan membina balai cerap baharu di Kampung Kiansam di barat daya pulau itu.

Mercu tanda baharu Labuan itu didirikan dalam kawasan dikenali sebagai Kompleks Darul Ifta’ yang turut mengandungi semua agensi hal ehwal agama Jabatan Perdana Menteri.

Pembinaan balai moden itu bagi menggantikan stesen cerapan lama sebelum ini di aras bumbung, Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan sejak 2003.

Setakat ini Balai Cerap Teluk Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan merekodkan paling banyak penampakan hilal di Malaysia iaitu pada 1972, 1973, 1974, 1981 dan 2001. – Utusan Malaysia