UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Ramadan hubungkan silaturahim, kukuhkan kebersamaan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Ramadan mendidik kita untuk menghiasi diri dengan sifat mahmudah (terpuji), rasa simpati dan pemurah sekali gus mengukuhkan lagi perasaan kasih sayang dan silaturahim.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, memasuki pertengahan bulan Ramadan seharusnya memotivasikan kita untuk melakukan lebih banyak kebaikan dan amal kebajikan serta menghubungkan silaturahim di kalangan kita.

Sabda Rasulullah S.A.W: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim”                                                     

         (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Dalam konteks ini, hadis ini memberi motivasi kepada kita semua untuk sentiasa berusaha menghubung dan mengeratkan silaturahim di antara seluruh warga kampus. Dengan cara ini, akan mengukuhkan semangat kebersamaan di antara kita dalam mencapai visi dan misi bersama.

“Kedatangan bulan Ramadan sememangnya amat ditunggu-tunggu kerana di bulan yang penuh dengan keberkatan, kemuliaan dan pelbagai keistimewaan   agar kita dapat melipatgandakan amalan di samping mengharapkan rahmat dan keampunan daripada-Nya,” ucapnya pada Majlis Berbuka Puasa Universiti Utara Malaysia 1445H/2024M di EDC-UUM semalam.

Selain berpuasa, amalan bersedekah merupakan salah satu dari pintu yang Allah buka bagi memberi kesempatan kepada umat Islam untuk meraih keuntungan. Allah SWT benar-benar memuliakan orang-orang yang bersedekah di samping menjanjikan banyak ganjaran yang menakjubkan.

“Kita berasa bertuah dapat berhimpun untuk bersama-sama berbuka puasa, mendengar tazkirah dan mendirikan solat secara berjemaah.

“Melalui program ini, kita dapat seimbangkan antara kecemerlangan duniawi dan ukhrawi, di samping membentuk peribadi yang holistik sepertimana dinyatakan jelas di dalam Misi Universiti,” ujarnya.

Selain itu katanya, kecekapan dalam menguruskan kewangan dengan berkesan akan menjamin keutuhan dan kejayaan sesebuah organisasi. Setiap tindak tanduk dalam menguruskan pentadbiran keseluruhannya hendaklah berpaksikan kepada Perlembagaan dan juga Statut universiti.

“Saya amat yakin dengan kepimpinan semua Dekan dan Ketua Pusat Tanggungjawab dalam menggerakkan dan memimpin organisasi masing-masing. Elakkan salah laku dan pembaziran serta tingkatkan integriti, amanah dalam menjalankan tugas, kerja sepenuh hati dan ikhlas.

“Marilah kita sama-sama bersatu hati menjadikan UUM sebagai sebuah universiti yang terbaik sama ada di dalam dan luar negara. Ini dapat ditonjolkan dengan keunggulan dalam bidang penyelidikan yang berkualiti, penerbitan yang tersohor, penghasilan inovasi berterusan, jaringan industri yang baik serta perkhidmatan komuniti yang cemerlang,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Syarikat Jakel Textile Cawangan Alor Setar atas sumbangan baju raya kepada Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim UUM.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan Ramadan kepada asnaf,   MKSK serta sumbangan baju dan duit raya kepada kepada  Anak Yatim sekali gus memberi keceriaan   menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sejurus selepas itu, majlis diserikan lagi dengan Tazkirah Ramadan bertajuk Ramadan Madrasah al-Quran disampaikan oleh Mudir, Sekolah Agama At-Toyyibah, Changlun, Ahmad Muhtad Yusoff.