UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Redah asap dalam gelap  

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Kebakaran yang berlaku jam 10.00 pagi mengeluarkan asap tebal menyesakkan nafas menyukarkan anggota bomba yang terpaksa meredah terowong sempit dan gelap sambil merangkak menyelamatkan mangsa yang terperangkap.     

Ketika mengharungi halangan dalam terowong yang gelap, empat anggota hanya berpandukan deria sentuhan untuk mengharungi rintangan malah komunikasi agak terbatas apabila mengenakan topeng yang tebal dalam ruangan yang panas dan sukar dijangka. 

Namun insiden mendebarkan ini hanyalah satu simulasi melibatkan 45 ahli Kor Siswa Bomba Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung di Breathing Apparatus Training Gallery (BATG) di Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar, Perlis.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Abdul Rahman Muhamad Faidulatraf berkongsi pengalaman mendebarkan apabila pertama kali menyertai latihan seumpama ini sepanjang mengambil kursus kokurikulum Briged Bomba di UUM.

“Sebelum ini, saya menganggap latihan ini seperti masuk ke dalam rumah hantu namun jangkaan meleset sebaik sahaja tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar.

“Untuk masuk ke dalam ruangan ini, kami memakai topeng muka dan tangki oksigen. Bila pakai topeng, saya agak cemas kerana penglihatan kabur dan sebaik 4 orang memasuki ruangan tersebut, kami tidak dapat melihat apa-apa kerana sangat gelap.

“Ketika mengharungi halangan yang ada, kami hanya berpandukan deria sentuhan untuk terus mengharungi rintangan malah komunikasi kami agak terbatas apabila mengenakan topeng yang tebal malah topeng ditakungi peluh kerana keadaan di dalam ruangan tersebut yang panas ditambah pula dengan halangan yang mencabar. 

Bermula dengan berjalan dalam keadaan normal, kemudiannya terpaksa merangkak, jalan itik dan meniarap bagi melengkapkan latihan ini.

“Bahagian yang paling mencabar tentunya ketika memasuki terowong dengan berjalan itik menaiki permukaan mendatar seterusnya meniarap malangnya kami tidak dapat memasuki terowong kerana tersangkut tangki oksigen jadi, kami terpaksa   mengheret tangka seberat 30 kilogram dalam keadaan meniarap sebelum  berjaya mengharungi semua halangan.

Sementara itu, Pengarah projek, Mohd Adiq Razdiansyah Alias berkata, simulasi dengan kerjasama Pegawai Bomba Dan Penyelamat Jitra, Kedah ini bertujuan untuk mendedahkan salah satu cabang latihan pasukan Bomba dan Penyelamat yang sebenar di samping memupuk nilai kerja berkumpulan, selain unsur kesiapsiagaan setiap ahli dalam menghadapi detik cemas.

BATG merupakan pusat latihan pernafasan untuk pegawai bomba yang menyediakan bilik gelap (tanpa cahaya) dan dilepaskan asap (simulasi kebakaran) di dalamnya serta suasana yang cemas. Aktiviti ini dapat meningkatkan lagi kecekapan ahli Kor Siswa Bomba dalam keadaan kecemasan.

“Kerjaya mencabar memerlukan latihan berterusan sebagai persediaan kepada anggota dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan serta memantapkan keupayaan mereka dalam menjalankan tugas.

“Anggota memerlukan latihan berterusan untuk memahirkan diri dalam menjalankan tugas apatah lagi pekerjaan yang memerlukan ketahanan mental, kekuatan tenaga dan pengurusan emosi seperti anggota bomba,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya melaksanakan satu projek kokurikulum dengan menjalani latihan pernafasan dalam ruang sempit di mana peserta didedahkan dengan pelbagai jenis latihan, termasuk penggunaan alat bantuan pernafasan, proses menyelamat, pemadaman api dan laluan sempit sehingga terpaksa merangkak. 

“Kaedah menyelamat ini digunakan ketika kebakaran dan dalam situasi cemas, mereka merangkak serendah mungkin dalam keadaan  gelap dan panas.

“Justeru melalui latihan ini membantu mereka mengawal teknik pernafasan, termasuk bergerak di laluan sempit sekiranya berlaku runtuhan bangunan,” katanya.

Menariknya setelah tamat latihan, peserta dapat menggunakan alat pernafasan dengan cekap termasuk mengenal pelbagai jenis alat pernafasan, memahami bahagian alat pernafasan dan fungsinya dan menggunakan alat pernafasan dengan betul.