UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Riadah ilmu di puncak Telipong

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Oleh: Dr. Munirah Khamarudin dan Dr. Shahrin Saad

Changlun – Sempena menyambut kehadiran bulan Ramadan yang mulia, Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan dan Kerohanian dan Kelab Kebajikan Pusat Pengajian Perniagaan, UUM mengadakan program bertemakan ‘Road to Ramadan, Road to Success’, di Bukit Telipong.

Program yang disertai 37 staf SBM merupakan satu kelainan di mana staf dapat beriadah di atas Bukit Telipong yang menyajikan pemandangan yang indah dan suasana yang nyaman. 

Usaha ini sejajar dengan objektif program dalam membina modal insan yang sihat, cergas dan berjaya dunia dan akhirat.

Program dimulakan dengan senaman ringkas diketuai oleh Dr. Saiful Azizi Ismail diikuti acara sukaneka yang menggamatkan suasana puncak Bukit Telipong.

Acara sukaneka seperti membawa bola pingpong, memenuhkan air dalam botol menggunakan span dan meniup tepung mencari gula-gula secara tak langsung dapat memupuk semangat kerjasama dan setiakawan antara staf.

Mengambil peluang dari program ini staf juga dapat berkenalan antara satu sama lain terutama dengan staf yang baru menyertai keluarga besar SBM.

Program tazkirah ‘Road to Ramadan, Road to Success’ pula telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Yusnaidi Md. Sabri dari Jabatan Sumber Manusia, UUM.

Tazkirah ini menjurus ke arah penyediaan diri ke arah Ramadan.  Antara intipati yang disajikan adalah jihad terhadap Ramadan yang dapat memupuk kerohanian yang diredhai Allah. 

“Bulan ini adalah bulan yang sangat barakah yg mana kita dijanjikan dgn kepelbagaian dan kelebihan. Kita dijanjikan akan mendapat rahmat Allah S.W.T yang tidak terkira jika kita melakukan perkara ke arah kebaikan,” ujarnya. 

Beliau juga menyeru agar kita semua merebut peluang untuk mempertingkatkan ibadah pada bulan yang mulia ini.