UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

RM 2.5 juta tingkat perkhidmatan keselamatan sosial 

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua organisasi bagi meningkatkan lagi taraf perkhidmatan bidang keselamatan sosial di Malaysia.

Susulan memorandum perjanjian (MoA) yang dimeterai pada 5 Ogos lalu dengan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), PERKESO telah memperuntukkan RM 2.5 juta kepada UUM untuk tempoh lima tahun bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti dalam aspek termasuk pembinaan kapasiti, pembangunan dan penyelidikan serta pemerkasaan promosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Haim Hilman (dua, kanan) dan Mohammed Azman (dua, kiri) menandatangani memorandum persefahaman antara UUM dan PERKESO. Shamsaimi Ezil/UUM Today

Menerusi kerjasama itu juga, PERKESO telah berjaya membangunkan sebuah Pusat Kecemerlangan Pengurusan Keselamatan Sosial (SOSCOE) di Pusat Rehabilitasi PERKESO, Melaka, malah buat julung kalinya bakal menawarkan program pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (Minor Pengurusan Keselamatan Sosial) kepada 20 anggota PERKESO yang akan memulakan pengajian pada November depan di Pusat Pengajaran dan Pembelajaran SOSCOE di Melaka.

Penyerahan MoA tersebut disempurnakan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed di Menara PERKESO, Khamis lalu.

PERKESO memperuntukkan RM 2.5 juta kepada UUM untuk meningkatkan perkhidmatan keselamatan sosial. Shamsaimi Ezil/UUM Today

Pada majlis sama turut berlangsung pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan PERKESO dengan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) yang ditandatangani oleh Haim Hilman dan Mohammed Azman.

Haim Hilman berkata, kerjasama itu merupakan titik permulaan antara UUM dan PERKESO untuk merealisasikan hasrat kedua pihak kerana tiada yang mustahil untuk mereka saling melengkapi.

“Ilmu yang ada di UUM akan disampaikan sebagai satu amanah untuk membantu membela mereka di luar sana yang memerlukan pembelaan.

“UUM dan PERKESO akan saling bekerjasama untuk membantu mereka tanpa mengira bangsa dan agama yang akan membawa kebaikan kepada kita semua,” ujarnya.

MoU itu turut menggariskan kolaborasi dalam program pasaran buruh aktif, pelaksanaan simposium, persidangan dan kursus pendek, penyelidikan, perundingan dan latihan industri bagi ahli akademik serta pelajar UUM.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, MoU itu merangkumi kerjasama dalam beberapa bidang termasuk pengurusan hilang upaya, perkhidmatan pekerjaan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Menurutnya, matlamat UUM ini adalah sangat mulia yang bukan hanya melihat dalam aspek akademik sahaja tetapi sebagai satu pasukan yang ingin meningkatkan modal insan di PERKESO.

Graduan UUM, Muhammad Nasrun Fadhli (tiga, kanan) menerima Sijil Anugerah Khas Pelajar PERKESO daripada Mohammed Azman (tiga, kiri). Shamsaimi Ezil/UUM Today

Katanya, MoU itu membuka laluan bagi pelaksanaan kepada pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kecekapan pengurusan hilang upaya khususnya kepada golongan majikan dan pengamal pengurusan hilang upaya di Malaysia. 

“Ia akan dilaksanakan menerusi perluasan kerjasama dalam cabang-cabang ilmu keselamatan sosial termasuk pengajaran dan pembelajaran berkaitan modul pengurusan hilang upaya, pembangunan modul dan latihan, serta pengurusan psikososial termasuk intervensi kerja sosial dan kaunseling.

“Saya harap MoU ini dapat menambah baik program-program yang berkaitan pengamal kesihatan sosial di PERKESO, selain dapat membantu mereka yang memerlukan menerusi penambahbaikan yang dilakukan PERKESO dengan kerjasama UUM,” katanya.

Turut diadakan di majlis itu juga penyerahan Sijil Anugerah Khas PERKESO kepada graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial dari SAPSP, Muhammad Nasrun Fadhli Nursalim yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak kecil.