UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

RM52 juta untuk UUM bangunkan infrastruktur ICT

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima peruntukan sebanyak RM52 juta bagi penyediaan infrastuktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di universiti ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pada Perhimpunan Bulanan Staf, Pelancaran Pelan Pendigitalan UUM dan Penutupan Kejohanan Sukan Staf UUM Ke-13 di Stadium Pusat Sukan, hari ini.

Menurutnya, peruntukan tersebut diterima daripada Kementerian Pendidikan Tinggi pada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi tahun 2022 hingga 2024.

“Peruntukan itu secara tidak langsung akan membantu warga UUM dalam mendepani era pendigitalan terutamanya dalam norma baharu ketika ini.

“UUM amat menitikberatkan kecemerlangan pengurusan dan akademik serta pembinaan modal insan yang sentiasa mengutamakan teknologi yang terkini atau pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti,” katanya.

Dr. Mohd Foad menambah, proses pendigitalan itu akan memfokuskan anjakan minda, kemahiran dan infrastruktur antara golongan pendidik atau ahli akademik dengan pelajar.

Justeru, katanya, semua pihak perlu bersedia dengan kaedah baharu menerusi anjakan minda drastik dan kemahiran dalam dunia digital.

Menurut beliau juga, UUMIT telah merangka Pelan Pendigitalan UUM 2024 hingga 2030 yang meliputi inisiatif-inisiatif seperti Wifi Improvement / Next Generation Networks, Augmented Reality / Virtual Reality, Metaverse, Virtual Room, Data Management / Big Data Analytic, Block Chain, Smart Lecture Hall Management, Internet of Things (IOT), Digital Telephone System dan Virtual Museum.

Pada majlis sama, turut diadakan Penutupan Kejohanan Sukan Staf UUM Kali Ke-13 yang telah berlangsung pada 19 Oktober hingga 2 November lalu.

Antara aktiviti lain yang dijalankan sepanjang program ini termasuklah ‘brisk walk’ dan acara VIP Sukan Staf 8×50 meter. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)