UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

RM1.75 juta untuk projek siput sudu UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Nursyafinaz Shahidan/UUM Today

KUALA MUDA: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima peruntukan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebanyak RM1.75 juta untuk projek ‘Muscling the Mussels Farming Community’ di Kuala Muda.

Projek siput sudu di bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) itu dilaksanakan bermula Januari 2021 hingga Januari 2026.

Ketua projek, Prof. Madya Dr. Faizatul Akmar Abdul Nifa berkata, projek kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini dalam fasa pertama melibatkan 15 peserta belia Bumiputera dari golongan B40 dan 17 penyelidik dari UUM.

Menurutnya, projek siput sudu itu dijalankan di Pantai Teluk Bayu, Pantai Merdeka dan Pengkalan Tiram, Sungai Dedap di mana setiap lokasi masing-masing ditempatkan seramai tujuh dan lapan peserta.

Kata beliau, projek tersebut bakal memberi impak kepada komuniti dari aspek peningkatan pendapatan dan ekonomi masyarakat luar bandar, tingkat keselamatan tahap makanan, membuka peluang pekerjaan dan menggalakkan aktiviti keusahawanan.

“Menerusi program yang dimulakan di Pantai Teluk Bayu, kita menyediakan sangkar penternakan siput sudu, rumah proses, fabrikasi bot dan 400 tali benih siput sudu. Pembinaan ini telah selesai sepenuhnya pada Julai lalu.

“Pembinaan infrastruktur bagi lokasi kedua di Pengkalan Tiram, Sungai Dedap pula akan dimulakan setelah mendapat dana kedua daripada TERAJU,” katanya.

‘Muscling the Mussels Farming Community’ ini dipecahkan kepada lima inisiatif projek (IP) yang dikendalikan oleh kumpulan penyelidik untuk menjalankan skop tugasan masing-masing.

IP 1 bertanggungjawab dalam penglibatan komuniti Bumiputera dalam sektor akuakultur; IP 2 fokus pembinaan infrastruktur asas, rakit penternakan terapung dan penternakan siput sudu; sistem IoT bagi kawalan persekitaran ternakan siput sudu (IP 3); rantaian logistik dingin bagi hasil ternakan siput sudu (IP 4) dan IP 5 berperanan dalam penjenamaan dan pemasaran hasil ternakan siput sudu.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Program Latihan Keusahawanan Penternakan Siput Sudu (Penjenamaan dan Pemasaran) serta Libat Urus Komuniti Projek dengan kerjasama Institute Halal Malaysia (IHM), UUM serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Kedah bagi memberi taklimat berkenaan halal dan bimbingan usahawan.

Selain itu, Program Latihan Penternakan Siput Sudu sesi pertama di rumah proses Teluk Bayu dan memantau pembinaan rumah proses, sangkar dan fabrikasi bot serta mengadakan Program Pemindahan Ilmu: Pembangunan Produk Siput Sudu Stim/Rebus Sejuk Beku.