UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

RM100,000 Yayasan Bank Rakyat bantu pelajar UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Penyerahan bantuan awal pengajian berjumlah RM100,000 daripada Yayasan Bank Rakyat diharap dapat membantu pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Yayasan Bank Rakyat merupakan antara penyumbang terbesar kepada UUM dalam aspek kebajikan dan tajaan.

Menurutnya, hal ini menunjukkan komitmen yang hebat daripada Yayasan Bank Rakyat yang digarap secara berterusan sebagai wadah pembangunan.

“Pada tahun lalu dan juga 2022 sahaja, Yayasan Bank Rakyat telah menyumbang melebihi RM200,000 kepada UUM untuk membantu pelajar dalam kategori asnaf dan B40.

“Di UUM sahaja hampir 14,500 pelajar iaitu bersamaan 70 peratus pelajar adalah dari kategori B40 dalam pelbagai peringkat pengajian. Dengan adanya sumbangan dan kolaborasi ini, dapatlah membantu pelajar-pelajar UUM meringankan beban sara hidup,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian 2023 di Balai Tamu, sebentar tadi.

Dr. Mohd Fuad berkata, beliau berterima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat yang telah banyak memberi kepada UUM dan sesungguhnya beliau hargai bantuan awal tersebut.

Menurutnya, UUM juga terbuka untuk mengadakan peluang kerjasama dengan Yayasan Bank Rakyat untuk jangka masa panjang dalam aspek bukan kewangan.

Yayasan Bank Rakyat telah diwakili Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani telah menyerahkan replika cek kepada Naib Canselor UUM.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi dan pegawai-pegawai kanan dari Yayasan Bank Rakyat dan UUM.