UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

RM50,000 wakalah zakat CGS International untuk 100 asnaf

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Islam/UUM Today

BALING, 27 Februari – Seramai 100 orang asnaf telah menerima wakalah zakat bernilai RM50,000 yang disampaikan CGS International Sdn. Bhd. di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung KEDA pada 24 Februari lalu.

Mereka terdiri daripada 70 asnaf pelajar sekitar Baling dan 30 asnaf pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, bantuan yang diberikan ini diharapkan dapat membantu meringankan bebanan penerima.

Menurutnya, pentingnya rasa bersyukur kerana terpilih untuk menerima agihan zakat dan manfaatkan sumbangan tersebut untuk perkara-perkara yang berfaedah.

“Sedikit nilai zakat yang disampaikan gunakanlah untuk perkara yang boleh membangunkan diri serta keluarga masing-masing, ini yang penting selain daripada membelanjakan untuk barangan seharian isi rumah,” katanya.

Inisiatif itu digerakkan dengan kerjasama Pusat Islam dan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM.

Wakil syarikat pembayar zakat, Zainal Ismail selaku Ketua Jabatan Dealing Management and Governance merangkap Ahli Shariah Secretariat CGS International telah menyentuh peranan penting syarikat korporat dalam menunaikan kewajipan berzakat, di samping berperanan dalam pembangunan komuniti yang mampan.

Beliau turut menyerahkan replika cek berjumlah RM50,000 kepada Pusat Islam sebagai wakil penerima zakat sebelum menyerahkan zakat berupa wang tunai RM500 kepada penerima yang hadir.

Inisiatif menjejak asnaf ini menggambarkan komitmen yang dipikul bersama syarikat korporat dalam membantu dan membangunkan masyarakat serta asnaf penuntut ilmu yang berada di universiti.

Rata-rata penerima menzahirkan rasa syukur di atas pemilihan asnaf komuniti di Baling meskipun kedudukan geografinya sangat jauh dengan ibu pejabat syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur.

Hadir sama, Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don @ A. Wahab, Guru Besar SK Kg. KEDA Kupang, Farid Azizi Md Noh serta Imam Masjid Raudatul Falah Kg. Iboi, Mohamad Zawawi Ismail yang turut menyampaikan tazkirah ringkas kepada penerima.