UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

RTD UUM tingkat kesedaran undang-undang dan polisi perubahan iklim

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Pengajian Undang-undang & Unifilm/UUM Today

SINTOK: Bagi meningkatkan kesedaran tentang undang-undang dan polisi perubahan iklim, Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan perbincangan meja bulat (RTD) di Dewan Pusat Islam, UUM dan secara langsung di Facebook dan Webex, baru-baru ini.

Dengan tema ‘Raising Awareness on Climate Change Policy and Law Education‘, program yang dianjurkan oleh Climate Change Law Research Unit (CLIMATE), SOL telah membuka ruang bagi penyelarasan pemikiran tentang strategi pendidikan undang-undang dan polisi perubahan iklim, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030), khususnya SDG13 yang berkenaan dengan Tindakan Iklim.

Program ini dirasmikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat sempena pelancaran CLIMATE sebagai satu unit penyelidikan baharu di UUM.

Dalam ucapannya, Dr. Nor Idayu telah menyatakan harapannya supaya usaha ini dapat memberikan sumbangan penting dalam memahami serta bertindak ke atas isu-isu mendesak berkaitan perubahan iklim.

“Saya yakin program sarjana yang sedang dibangunkan oleh penyelidik CLIMATE yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd Anuar akan berupaya menarik minat pelbagai lapisan generasi untuk lebih memahami dan menerajui peranan yang serius dalam menangani isu-isu lokal dan global berkait perubahan iklim,” kata beliau.

Kehadiran tiga ahli panel terkenal dalam bidang perubahan iklim dan polisi persekitaran iaitu Penasihat Centre for Environment, Technology and Development, Malaysia (CETDEM), Gurmit Singh; Ketua Jabatan Undang-undang, Majlis Bandaraya Alor Setar, Dr. Elina Mohd dan Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Masnita Misiran memberikan nilai tambah kepada perbincangan tersebut.

Program tersebut dihadiri lebih 80 peserta terdiri daripada pelbagai pihak berkait bidang kelestarian alam sekitar, seperti pentadbir universiti, akademik dan mahasiswa UUM, pihak regulatori dan juga masyarakat umum.

CLIMATE telah dirasmikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pada 27 November lalu.

CLIMATE ditubuhkan bertujuan menjadi pusat penyelidikan utama dalam bidang undang-undang dan polisi perubahan iklim sebagai salah satu keperluan projek penyelidikan yang dibiaya oleh program, Erasmus+ oleh Kesatuan Eropah.

Matlamat penubuhan CLIMATE ialah untuk menjalin hubungan yang berkesan dengan pelbagai pihak terlibat dalam isu perubahan iklim, mempromosikan Program Sarjana Undang-undang Perubahan Iklim di UUM, dan menyelenggara program kesedaran berkaitan undang-undang serta polisi perubahan iklim. – Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin (SOC)