UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SABS 2024 persembah hasil kerja FYP pelajar UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Nurafrina Abdul Aziz

Gambar SLCP/UUM Today

SINTOK, 24 Januari – Buat julung kalinya, Seminar Apresiasi Bahasa dan Sastera dalam Industri Kreatif dan Teknologi Maklumat (SABS) 2024 dikendalikan sepenuhnya pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT) dan Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) diadakan di Pusat Penginapan Pelajar (SAC) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Perasmian SABS 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal (Akademik dan Antarabangsa) Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Dr. Maizatul Azura Yahya dengan diiringi oleh Pengerusi Program BCLCIM, Dr. Phat a/l Awang Deng.

Agenda seminar dimulakan dengan persembahan syair ‘Berbuat Jasa’ oleh pelajar semester pertama, Muhammad Haiqal Haizad Nazri.

Sementara itu, pensyarah, Dr. Zamimah Osman dan Ainal Akmar Ahmad berkata, tujuan seminar ini adalah untuk mempersembahkan hasil kerja Projek Tahun Akhir (FYP) pelajar.

Menurutnya, selain penulisan tesis, terdapat juga pelajar yang menghasilkan produk daripada perkara yang dipelajari sepanjang menuntut ilmu, antaranya produk aplikasi sesawang dan juga karya-karya kreatif seperti skrip drama, kumpulan puisi dan sebagainya.

Di samping itu, katanya, seminar ini juga boleh memperdalamkan ilmu pengetahuan dengan cara berkongsi ilmu pengetahuan baharu serta memberi idea kepada pelawat yang merupakan ahli akademik di UUM.

Dalam lawatan itu, mereka memberi maklum balas bahawa terdapat perkara yang dibentangkan pelajar merupakan perkara baharu yang mereka pelajari di SABS 2024. Hal ini telah memperluaskan lagi ilmu pengetahuan mereka dan membantu dalam percambahan idea ketika ingin melakukan penulisan kelak.

Pengarah program SABS 2024, Iqmal Hakim Rosli dalam ucapannya melahirkan rasa bangga kerana seminar yang dianjurkan telah berjaya dilaksanakan.

Beliau juga berpendapat bahawa anjuran SABS 2024 yang julung kali diadakan di bawah SLCP merupakan medium perkongsian hasil kerja pelajar yang mendatangkan banyak input dan pengetahuan kepada semua yang hadir.

Di akhir program, pemenang poster terbaik telah diumumkan di mana pemilihan pemenang telah dilakukan oleh barisan juri yang berkredibiliti dan telus.

Kecemerlangan seminar ini secara keseluruhannya telah memaparkan kebijaksanaan, kebolehan serta kreativiti pelajar SLCP dalam akademik. Seminar ini juga telah memperlihatkan usaha pelajar yang jelas dalam memartabatkan bahasa yang melibatkan kemahiran dalam linguistik dan sastera kesusasteraan bersama-sama major kedua masing-masing iaitu Teknologi Maklumat dan juga Pengurusan Industri Kreatif.