UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sambutan aidilfitri jalin kemesraan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

JITRA: Seramai 60 pesara Universiti Utara Malaysia (UUM) memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali gus mengeratkan silaturahim yang terjalin di bulan Syawal yang mulia, di Kelubi Waterfall, Jitra, baru-baru ini.

Majlis anjuran Persatuan Pesara UUM, yang diadakan bermula jam empat petang itu diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan pesara selain meraikan kehadiran Syawal.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan teruja dapat berkumpul bersama untuk meraikan pesara yang telah banyak menabur bakti kepada UUM. 

Menurutnya, ikatan yang terjalin ini amat penting untuk membentuk ukhuwah,  keharmonian, kebersamaan dan kerjasama yang baik.

“UUM sedia menjalin kerjasama dalam melaksanakan pelbagai aktiviti bersama Persatuan Persara UUM seperti aktiviti kebajikan dan program bersesuaian dengan bidang pesara,” ujarnya.  

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertemu Persatuan Pesara UUM dalam masa terdekat untuk bersama-sama berkongsi idea dalam usaha  meningkatkan lagi mutu perkhidmatan UUM.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pesara UUM, Hanizan Zalazilah berkata, kegembiraan berganda dapat bertemu rakan seperjuangan lebih-lebih lagi dalam kehangatan lebaran yang masih terasa.

“Kami bersyukur Syawal ini kita berkesempatan beramah mesra antara satu sama lain dengan lebih dekat dalam suasana meriah tambahan pula kedatangan Naib Canselor menambah seri sambutan raya.

“Semestinya teruja bertemu dan berkumpul bersama sahabat handai yang menyemarakkan suasana raya dengan pelbagai juadah yang menyelerakan   seperti mi kari, bihun goreng, sate, kuih-muih dan buah-buahan,” katanya.

Manakala Setiausaha, Norlaila Osman menyifatkan pertemuan yang menyuburkan amalan kunjung-mengunjung amat digalakkan dalam Islam kerana dapat mengeratkan kemesraan yang terjalin.

“Kita seperti sebuah keluarga, saat yang dinanti-nantikan untuk bersua muka dengan kawan lama yang sudah lama tidak bertemu sambil saling bermaafan antara kita serta melupakan kisah lalu.

“Inilah peluang terbaik merapatkan kembali persaudaraan dan menyambung hubungan yang terputus disebabkan perbezaan pendapat,” ujarnya.

Beliau berharap majlis seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mendekatkan hubungan antara UUM dan Persatuan Pesara UUM.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi, Baharuddin Yaacob, Bendahari, Amron Man dan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.