UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sambutan Hari Akademia suntik semangat

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Hari Akademia kali pertama diraikan pada 2019 apabila Kementerian Pendidikan ketika itu mengisytiharkan sambutan berkenaan bagi menghargai jasa dan sumbangan kumpulan akademik yang merangkumi tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi termasuk institut latihan dan vokasional yang melibatkan komuniti akademia yang merangkumi kira-kira 70,000 tenaga pengajar di IPT.

Tahun ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) meraikan Hari Akademia peringkat universiti bagi menyuntik semangat warga kampus untuk bekerja dengan tekun dalam memastikan setiap ruang dan peluang dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, setiap perjalanan yang  dilalui adalah suatu perjuangan dan kita adalah satu pasukan yang bekerja dalam membangunkan agenda agama, bangsa dan negara.

“Sebagai pendidik jadilah ‘role model’ pada pelajar dan sesiapa yang masuk kuliah akan terinspirasi untuk mencapai potensi diri yang sebenar.

“Universiti akan berusia 50 tahun pada 2034 iaitu 12 tahun dari sekarang justeru warga kampus berusaha untuk melakukan pelbagai usaha serta membangunkan pelajar secara bersama,” katanya. 

Jelasnya, warga UUM boleh menolong mengangkat agenda universiti misalnya membangunkan program akademik yang berimpak, meningkatkan jumlah pelajar ‘postgraduate’, serta meletakkan universiti di kedudukan 100 terbaik dunia.

Beliau menyeru staf UUM supaya menyimpan impian besar, berwawasan jauh, mencontohi universiti lain, mempersiapkan diri dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan di samping memperbaiki kekurangan yang ada. 

“Hebat manapun seorang profesor atau pensyarah tidak mungkin kita mencapai apa yang dihasratkan tanpa sokongan pentadbir, ini hari kita semua, jadi kita harus bekerja   dan saling melengkapi antara satu sama lain agar anak bangsa mendapat pendidikan terbaik.

“Kita orang biasa tidak ada apa yang istimewa jadi jangan pernah lupakan jasa ibu ayah dan pasangan yang banyak berkorban dan setia menanti kita,” ujarnya ketika merasmikan sambutan Hari Akademia Peringkat UUM bagi tahun 2022 di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Majlis ini bertujuan menghargai jasa, pengorbanan dan menzahirkan rasa terima kasih kepada warga akademik atas sumbangan ilmu, budi, bakti, peranan dan tanggungjawab dalam mendidik anak bangsa.

Sambutan Hari Akademia bertemakan “Memasyarakatkan Ilmu Menara Gading” anjuran Persatuan Akademia (PERSATU) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar, merupakan acara tahunan untuk beramah mesra sesama warga tenaga kerja yang berkhidmat di institusi pendidikan sekali gus dapat mengeratkan lagi silaturahim.

Pada majlis sama turut menyaksikan acara penyampaian Anugerah Hari Akademia kepada tenaga akademik yang telah memberi sumbangan dan melakar kejayaan di samping senamrobik dan jelajah kembara (explorace) dalam usaha membudayakan penjagaan kesihatan fizikal dan mental warga staf UUM.

Naib Canselor menyampaikan Anugerah Hari Akademia kepada Mohamad Yazid Isa yang merangkul Anugerah Penyelidik Cemerlang, Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin (Anugerah Penulis Produktif), Iskandar Adon (Anugerah Pendidik Cemerlang) dan Prof. Dr. Che Su Mustaffa (Anugerah Akademia Holistik).

Bagi penerima Anugerah Akademia Harapan, pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Dr. Mohd Alif Jasni anugerah yang diterima ini suatu pengiktirafan yang bermakna buat dirinya sebagai tanda penghargaan universiti.

“Anugerah ini menyuntik semangat untuk berkerja lebih kuat dengan melipatkan ganda usaha serta mengekalkan momentum pada masa akan datang malahan, ucapan Naib Canselor yang sungguh bermakna sebentar tadi membuatkan saya menjadi lebih bersemangat untuk berusaha lebih tekun selepas ini,” ujarnya. 

Ulasnya, acara ini merupakan suatu platform yang sangat baik dalam mengumpulkan kesemua ahli akademik dan pentadbiran dalam meraikan secara bersama-sama.