UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sambutan Hari Lebah Sedunia 2023

KOTA BAHRU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan Sambutan Hari Lebah Sedunia 2023 bertempat di USM Kampus Kubang Kerian, Kelantan.

Program selama tiga hari mulai 18 hingga 20 Mei yang bertemakan “Emerge of Kelulut Honey” ini melibatkan pameran teknologi dan jualan produk oleh pelbagai agensi kerajaan, persatuan dan pengusaha lebah dari seluruh negara.

Turut diadakan Persidangan Antarabangsa 5th International Conference on The Medical Use of Honey melibatkan penyelidik antarabangsa dan tempatan bagi berkongsi dapatan saintifik, Inovasi dan perkongsian idea berkaitan industri madu.

Penyelaras Sambutan, Dr Zulkifli Mustafa berkata, sambutan Hari Lebah Sedunia ini adalah bagi menghimpunkan semua pemain industri dalam satu program bagi meningkatkan hubungan kerjasama dan perkongsian idea.

Tambah beliau, industri berasaskan lebah dan kelulut sedang berkembang pesat di Malaysia dan telah mewujudkan peluang pekerjaan serta sumber kekayaan baru di negara ini.

“Sehingga kini lebih dari 4000 penternak kelulut baru telah dilatih dan berjaya menghasilkan pengeluaran madu premium yang mencecah 100 tan setahun.

“Sambutan Hari Lebah Sedunia juga dapat meningkatkan kesedaran umum terhadap kepentingan konservasi bagi memastikan kesinambungan populasi lebah selain mempromosikan kebaikan madu asli,” katanya yang dipetik dari Facebook USM.

Persidangan Antarabangsa dan Sambutan Hari Lebah Sedunia ini telah dirasmikan oleh Tengku Laksamana Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.