UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sarapan pagi di puncak Bukit Talipong jalin kemesraan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Changlun: Sarapan pagi beramai-ramai dengan Kambing Golek Madu Kodiang di atas puncak Bukit Talipong di Felda Batu 8 meninggalkan kenangan manis buat staf Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dekan SEFB, Prof Madya Dr. Bakti Hasan Basri melahirkan rasa gembira di atas komitmen yang diberikan staf pada program anjuran Kelab Kebajikan & Rekreasi SEFB sempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-66 dan Hari Malaysia.  

Jelasnya, hubungan yang erat dan harmoni sesama staf perlu diterapkan agar tiada jurang yang jauh bagi memastikan mereka bekerja seperti sebuah keluarga.

“Program ini sudah tentunya memberi impak yang positif kepada staf SEFB baik dari segi fizikal dan mental kerana benar-benar menguji daya tahan peserta untuk mendaki sehingga sampai ke puncak bukit bersama-sama.

Aktiviti pendakian bermula pada pukul 8:45 pagi dan sepanjang pendakian, jelas disaksikan semangat kerjasama dan berpasukan di kalangan peserta apabila mereka saling bantu membantu rakan-rakan peserta yang lain baik sewaktu pendakian mahupun menurun bukit.

“Acara ini menjadi tumpuan dan mendapat sambutan hangat semua staf yang berkumpul dalam suasana santai diselangi gelak tawa, tepukan gemuruh dan sorakan semangat peserta sampai di atas puncak bukit Talipong pada pukul 10:00 pagi.

“Jadi saya berharap lebih banyak program seumpamanya seperti ini dapat dijalankan dengan lebih kerap lagi pada masa hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program Khairul Anuar Adnan berkata, program yang disertai seramai 50 peserta yang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran SEFB merupakan salah aktiviti yang dijalankan sempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia yang ke-66 dan Hari Malaysia.

“Semua peserta begitu teruja dengan pemandangan yang cantik di atas puncak bukit Talipong.  Aktiviti ini juga penting bagi menggalakkan penyertaan ahli-ahli kelab SEFB aktif dalam aktiviti luar yang sihat sekali gus mengeratkan silaturahim.

“Di samping itu juga aktiviti ini juga dapat mendorong ahli kelab untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat serta dapat meningkatkan kecergasan diri dan lebih produktif dalam menjalankan tugas.

Pada program sama, turut diadakan majlis perpisahan kepada Sobehah Din yang akan bertukar ke Unit Undang-Undang, Jabatan Canselori.