UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SBM fokus matlamat untuk kecemerlangan pelajar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Abdul Hafiz Abdul Halim/UUM Today

SINTOK: Kejayaan Universiti Utara Malaysia (UUM) tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia, dengan menduduki kedudukan ke-99 dalam senarai yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) Asia Universiti Rankings 2023 lalu merupakan bukti kecemerlangan akademik UUM.

Antara penyumbang kepada kejayaan itu ialah pencapaian akademik yang baik dalam kalangan pelajar universiti ini.

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, sebagai sebuah pusat pengajian kedua terbaik di UUM, kualiti akademik tetap menjadi fokus SBM untuk melahirkan pelajar yang memenuhi keperluan industri dan membawa kegemilangan UUM sebagai universiti pengurusan yang cemerlang.

“Di samping penarafan yang terbaik kepada pencapaian UUM, pengiktirafan oleh The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) sebagai satu badan akreditasi peringkat antarabangsa yang mengiktiraf semua program-program akademik di Kolej Perniagaan termasuk SBM menunjukkan aspek kualiti akademik diberi perhatian utama.

“Kita (SBM) turut memastikan bahawa pembangunan kurikulum yang teradun adalah mengikut kehendak semasa dan memenuhi keperluan industri demi untuk masa hadapan semua pelajar serta graduan universiti,” katanya.

Dr. Shuhymee yang berucap di hadapan seramai 340 orang pelajar cemerlang sempena Majlis Anugerah Dekan Sesi A221 turut menekankan kepentingan dalam keseimbangan antara akademik dan kokurikulum.

Tambah beliau, selain cemerlang akademik, pelajar turut digalakkan agar sentiasa aktif dalam aktiviti kokurikulum, terlibat dengan program atau aktiviti yang dianjurkan oleh Inapan Siswa (Inasis) dan yang paling penting pusat pengajian anda ini (SBM).

“Datang berjumpa dengan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta penasihat kelab dan kongsikan cadangan ke arah membantu pusat pengajian.

“Kita perlu bergerak selari dan bersama bagi memastikan SBM terus relevan untuk berkhidmat kepada pelajar supaya terus cemerlang dalam akademik dan bukan akademik. Keseimbangan yang baik antara akademik dan kokurikulum akan memastikan pelajar SBM layak menerima anugerah tertentu setiap kali majlis konvokesyen,” katanya.

Bertemakan tradisional Malaysia, Majlis Anugerah Dekan SBM Sesi A221 kali ini menyaksikan seramai 340 orang daripada 571 penerima anugerah telah diraikan.

Penyempurnaan anugerah disampaikan oleh Dekan SBM sendiri melalui setiap Pengerusi Program sambil disaksikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SBM, Prof Madya Dr. Hasnizam Shaari.