UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sebarkan silaturahim kepada Komuniti Luar UUM

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengajak keluarga besar warga UUM untuk menyambungkan silaturahim dengan masyarakat di sekitar universiti.

Justeru, katanya, semangat kekitaan keluarga besar UUM perlu diterapkan terlebih dahulu kerana keharmonian sesebuah organisasi akan memancarkan semangat persaudaraan merentas kampus UUM Sintok.

“Hubungan yang erat dan harmoni dengan komuniti setempat perlu diterapkan agar tiada jurang yang jauh bagi memastikan masyarakat setempat memperoleh faedah dengan kewujudan UUM ini.

“Saya dan Pengurusan Tertinggi UUM ingin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga UUM dan juga kepada masyarakat komuniti setempat yang turut hadir memeriahkan majlis,” katanya dalam Majlis Silaturahim Aidilfitri 2023 UUM di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pagi tadi.

Di majlis yang turut dihadiri oleh barisan Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti itu, staf berpeluang beramah mesra dan bertanya khabar sambil menikmati juadah tersedia yang menyaksikan kira-kira 48 gerai dari pelbagai jabatan menyajikan aneka menu dan hidangan yang lazat menyelerakan.

Dr. Mohd Foad berharap majlis seumpama ini memberi peluang kepada semua warga UUM dan masyarakat setempat serta komuniti untuk merapatkan silaturahim serta mewujudkan semangat kekeluargaan, kerjasama dan mengukuhkan perpaduan.

“Bersyukur atas rahmat Allah, semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa bersyukur dan diterima amalan kita sepanjang bulan Ramadan yang telah meninggalkan kita.

“Mood Hari Raya Aidilfitri masih segar, sambutan bulan Syawal sebagai lambang dan simbolik yang menterjemahkan budaya masyarakat Melayu dalam konteks mengeratkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin,” katanya.

Sementara itu, Azam Arni Mohd Noor dari Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi menyifatkan majlis ini sebagai tradisi UUM setiap kali tibanya Syawal untuk meraikan kemenangan dan kesyukuran bersama warga kampus.

Di majlis yang penuh ceria ini, staf mahupun pelajar bersua muka bertanya khabar sambil mengunjungi gerai yang dihias cantik serta menikmati juadah yang tersedia seperti rendang, ketupat, lemang, sate, buah-buahan, manisan, kuih-muih, laksa, mee kari dan apom balik.

“Saya sangat teruja melihat semua yang datang dengan pakaian serba indah dengan senyuman manis sambil beramah mesra, bersalaman dan bermaafan sesama rakan taulan.

“Tambah seri apabila majlis didendangkan dengan lagu-lagu raya menggamit nostalgia mengimbau kembali keseronokan sambutan Hari Raya serta dan berharap majlis seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.

Kedatangan Syawal sememangnya sentiasa disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Lihat sahaja sambutan raya pada hari ini, kehangatan dan kemeriahan Aidilfitri masih dirasai meskipun bulan Syawal hampir ke penghujungnya.