SINTOK: Sebanyak 1,400 bungkusan bubur lambuk diagihkan kepada warga kampus serta masyarakat sekitar bersempena bulan Ramadan yang mulia.
Usaha murni ini dijalankan oleh Kelab Kebajikan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (SEFB, UUM) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Dekan SEFB Prof. Madya. Dr Bakti Hasan Basri berkata, program gotong-royong mengacau bubur lambuk membabitkan lapan buah periuk bubur lambuk yang dimasak oleh staf, pelajar SEFB dan staf YaPEIM.

Bubur Lambuk amat sinonim dengan bulan Ramadan yang menjadi juadah istimewa terutamanya ketika berbuka puasa dan kemeriahan lebih terasa apabila mengacau beramai-ramai dalam suasana penuh kasih mesra.
“Sejak dari pagi kami mula menyediakan bahan-bahan masakan sehingga ke proses memasak, bersiang udang, daging, mengupas bawang, cuci beras, membungkus dalam bekas dan mengagihkan bubur.
“Aktiviti seumpamanya dapat mengeratkan silaturahim antara warga kampus khususnya dalam kalangan pelajar, staf dan juga komuniti setempat,” katanya ketika mengedarkan bubur lambuk, baru-baru ini.
Antaranya, Masjid Sultan Badlishah, Masjid Bukit Kachi, Surau Inasis, Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR) Changlun, dan Maahad Tahfiz Sheikh Tajuddin Al-Jarumi, Kodiang.
Sementara itu, Unit Penyelarasan Komuniti YaPEIM, Rabiah Abdul Karim berkata, program gotong-royong mengacau bubur lambuk ini merupakan tahun kedua kerjasama dijalinkan.

“Penganjuran program bersama antara Kelab Kebajikan SEFB dengan YaPEIM akan dapat meningkatkan lagi hubungan kerjasama yang baik antara dua agensi dan akan diteruskan pada masa akan datang dalam pelbagai bidang lain.
“Program sebegini juga mampu menyemai semangat kerjasama sebagai satu pasukan, dan meningkatkan suasana harmoni dalam kalangan warga kampus dan komuniti setempat yang berdekatan dengan kampus UUM khasnya,” ujarnya.