UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SEFB Sanitary Pad Bank pertama di UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ihsan SEFB

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah mengambil inisiatif menyediakan SEFB Sanitary Pad Bank yang pertama di universiti ini.

Idea tersebut telah dicetuskan oleh pelajar Semester 6, Sarjana Muda Perbankan, Khausalya a/p Chandran yang juga Setiausaha Pentadbiran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pusat pengajian berkenaan.

Menurutnya, tujuan penyediaan Sanitary Pad Bank itu adalah untuk mencipta persekitaran yang baik, meningkatkan kesejahteraan dan mendorong kesetaraan gender dalam kalangan komuniti akademik SEFB.

Kata Khausalya, mereka juga ingin membantu pelajar SEFB mengatasi masalah kebersihan dan kewangan untuk beli tuala wanita ketika datang bulan atau haid.

“Setiap hari lebih 60 pek tuala wanita pelbagai jenama disediakan di Student Lounge Melur SEFB bagi memudahkan pelajar di situ dan lokasi ini menjadi lokasi utama untuk ‘break the stigma’ dan memberikan pendedahan kepada semua bahawa tuala wanita merupakan satu keperluan untuk pelajar wanita.

“Dengan adanya Sanitary Pad Bank, pelajar boleh mendapatkan tuala wanita ini secara percuma mengikut keperluan pada bila-bila masa. Ini bukti bahawa kami memahami keperluan pelajar wanita dan mengajak semua pelajar wanita SEFB untuk menyokong inisiatif ini,” katanya.

Khausalya berharap program SEFB Sanitary Pad Bank akan menjadi ikutan di pusat pengajian mahupun pusat tanggungjawab di UUM sebagai kemudahan kepada golongan wanita yang memerlukan, secara tidak langsung memanfaatkan kepada masyarakat secara lebih luas.

“Selepas ini, menstruasi tidak lagi menjadi halangan dalam mencapai kejayaan dan kesetaraan. Saya berharap inisiatif seperti ini akan berterusan termasuk menjadi menjadi anjakan paradigma bagi IPT lain,” ujarnya.

Pelancaran SEFB Sanitary Pad Bank disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SEFB, Dr. Zalina Zainal.