Gambar Pusat Islam/UUM Today
SIK: Seramai 80 sekretariat Sahabat Masjid Masjid Pusat Islam terdiri pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengikuti Program Ilmu Budi Bakti – Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) selama tiga hari pada 26 Oktober lalu di KEDA Resort Bendang Man.
Program anjuran Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Pusat Islam itu melibatkan Sekretariat Siswa yang menjadi tulang belakang kepada program-program dilaksanakan di Pusat Islam.

Penyelaras program, Mohd Firdaus Ahmat berkata, program ini memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam mengendalikan Kursus Pengurusan Organisasi secara kendiri dengan tunjuk ajar daripada staf Pusat Islam.
Menurutnya, terdapat beberapa sesi yang dijalankan selaras dengan objektif dan matlamat program untuk melahirkan mahasiswa yang dinamis, berilmu dan mempunyai kredibiliti tinggi sejajar dengan wawasan universiti dalam melahirkan graduan yang mempunyai jati diri dan sahsiah yang unggul ke arah kepimpinan pelajar yang global.

Kata Mohd Firdaus, peserta juga telah didedahkan dengan teknik pengurusan mesyuarat yang berkesan secara teori dan praktikal.
“Selain itu, pelajar turut diajar cara penulisan kertas kerja berimpak tinggi, di samping berfikir secara efektif dan kreatif dalam merancang dan menyediakan program bersama-sama ahli kumpulan yang lain. Mereka harus memberi fokus kepada kemahiran berkomunikasi, tegas dalam membuat keputusan dan berfikir secara strategik, inovatif dan kreatif.
“Program ini turut melatih peserta menjadi seorang pemimpin berkaliber dan membentuk jati diri yang kukuh dalam dunia realiti nanti,” katanya.

Tambahnya lagi, program ini juga secara tidak langsung turut mengajar peserta cara untuk membentuk sinergi dalam mengeratkan hubungan di antara mereka yang datang dari pelbagai latar belakang.
Peserta, Mohamed Umair Mohamed Suhaimee berkata, dia berharap program sebegitu akan memberikan manfaat kepada peserta, selain menimba pengalaman dan pengetahuan bagi melahirkan pemimpin yang telus dan ikhlas dalam bekerja. – Rozita Mohd Rejab