UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sektor awam nadi penggerak pertumbuhan negara

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar : Mohd Syahrir Abd Rahim/UUM Today

KOTA BHARU: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan Seminar Kewangan Dan Pengauditan Sektor Awam 2023 (SKPSA2023) di Hotel Grand Riverview selama tiga hari bermula 17 September lalu.

Seminar ini disertai seramai 204 peserta yang terdiri daripada akauntan, juruaudit dan juruaudit dalam mewakili pelbagai kementerian, pihak berkuasa tempatan, jabatan, institusi pengajian tinggi dan lain-lain organisasi dalam negara.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sektor awam berperanan sebagai nadi dan penggerak utama sistem penyampaian, operasi dan perkhidmatan menerusi dasar dan inisiatif kerajaan untuk membina dan mencipta pertumbuhan, kemajuan dan kemakmuran negara.

“Prestasi sektor awam perlulah membudayakan dan memperkasakan agenda pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang baik, melangkaui aspek materialistik, iaitu tidak terhad kepada matlamat kewangan semata-mata.

“Oleh itu, adalah penting bagi Sektor Awam untuk memiliki sistem penyampaian dan perkhidmatan yang efektif, efisien, ekonomik, berintegriti, beretika, saksama (ekuiti), adil dan mesra rakyat,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Dekan TISSA-UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.

SKPSA2023 yang bertemakan ‘Sektor Awam Sebagai Pemacu Malaysia Madani Ke Arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Menjelang 2030’ telah menjemput penceramah jemputan iaitu Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Fahrul Nizam Rusly dari Kementerian Ekonomi, Saadiah Yaacob (Jabatan Akauntan Negara), Dr. Salihin Abang (Salihin Corporate Centre), Rasmimi Ramli (Institut Akauntan Negara) dan Khairul Nizam Zainal Abidin (Majlis Bandaraya Shah Alam).

Wan Suraya dalam ucapannya menekankan kepentingan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan kesediaan pihak audit negara dalam hal ini.

Menurutnya, juruaudit perlu menyediakan diri mereka dengan kemahiran terkini serta usaha berterusan dalam memantapkan pengauditan berdasarkan SDG dan ESG.

Sementara itu, peserta, Ahmad Shukri Abd Ghani yang juga Pengarah Institut Perakaunan Negara berkata, seminar ini bertepatan dengan keadaan dunia yang tidak menentu dan saling bergantungan, sektor awam berhadapan dengan pelbagai isu yang semakin mencabar, kompleks dan merentasi pelbagai dimensi, terutamanya berkenaan dengan kesan buruk yang timbul daripada faktor risiko perubahan iklim dan kekurangan sumber yang dimiliki.

Seorang lagi peserta, Asma Othman yang merupakan Ketua Audit Dalaman Majlis Bandaraya Seberang Perai menyifatkan seminar ini amat berfaedah dan memberi pencerahan tentang tanggungjawab mereka sebagai pemacu sektor awam.

“Perkongsian daripada panel penceramah telah memberi pencerahan tentang kepentingan bagi sektor awam untuk mempertingkatkan kapasiti dan keupayaannya, serta komited dalam membangunkan sistem atau model penyampaian dan perkhidmatan yang inovatif dan bercirikan teknologi hijau.

“Sistem ini perlulah inklusif dan diasaskan menggunakan kerangka digital, automasi, kecerdasan buatan dan platform elektronik atas talian. Transformasi digital dan integrasi teknologi hijau ini akan menjadi intipati kepada perubahan yang akan membuka pintu menuju masa depan yang lebih gemilang, kukuh dan lestari,” ujarnya.

Maklum balas daripada peserta selepas seminar ini menunjukkan bahawa mereka mendapat penerangan dan perkongsian yang lebih jelas berkenaan peranan dan tindakan yang perlu dimainkan oleh mereka selaku pelaksana bagi mencapai 17 sasaran SDG negara dan sejagat menjelang 2030.