Gambar REUTERS
CIANJUR: Agensi meteorologi Indonesia mengeluarkan amaran bahawa daerah Cianjur, lokasi gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Ritcher terdedah kepada satu lagi malapetaka.
Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, Dwikorita Karnawati berkata, pihak berkuasa perlu sentiasa berwaspada terhadap potensi bencana kedua seperti tanah runtuh.
“Sungai boleh disekat oleh tanah runtuh atau runtuhan yang akan mencetuskan banjir kilat di Cianjur.
“Kita perlu segera membersihkan bahan dan runtuhan yang menghalang aliran sungai di atas bukit,” katanya.
Sementara itu, mangsa yang terselamat dalam gempa bumi di sini merayu untuk mendapatkan bekalan makanan dan air berikutan situasi hujan lebat, selain gegaran susulan halangan usaha menyelamat di kawasan perkampungan dengan teruk dilanda gempa bumi.

Gesaan itu dibuat ketika pihak berkuasa memberi amaran bahawa serpihan tanah runtuh yang disebabkan oleh gempa bumi kuat berhampiran bandar Cianjur di Jawa Barat itu perlu dibersihkan segera.
Ini mengambil kira ramalan cuaca menunjukkan hujan berterusan selama berminggu-minggu yang mungkin menyebabkan bencana kali kedua.
Dua hari selepas gempa bumi yang menyebabkan kediaman penduduk di sini runtuh, ada yang masih berusaha mendapatkan barangan berharga termasuk dokumen penting seperti sijil nikah selain gambar keluarga dan buku agama.
“Walaupun sebahagian bekalan perubatan, makanan, selimut sudah sampai tetapi ia masih tidak mencukupi. Kami mendapat nasi, mi segera dan air mineral tetapi ia tidak mencukupi,” kata salah seorang penduduk kampung Gasol, Mustafa, 23, kepada AFP.

Dalam pada itu di Kampung Talaga, sebahagian penduduk meletakkan papan tanda pada tingkap rumah yang rosak dan bahagian hadapan khemah dengan catatan “kami perlukan bantuan!”
Di jalanan, sekurang-kurangnya tiga individu memegang kotak kadbod untuk meminta derma.
Mereka yang dipindahkan bersesak-sesak di bawah khemah usang dan tidak dapat bergerak ke dalam bangunan walaupun hujan kerana bimbang berlaku gempa susulan.
Menurut seorang wartawan AFP di tempat kejadian, gempa susulan berukuran 3.9 magnitud mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang melarikan diri dari pusat perlindungan semalam.
Pihak berkuasa turut merekodkan 171 gegaran susulan setakat petang semalam.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 271 orang terkorban dengan kebanyakannya adalah kanak-kanak.
Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah di Jawa Barat lewat petang Isnin, pada kedalaman 10 kilometer, dengan gegaran turut dirasakan di Jakarta, di mana bangunan tinggi bergoyang dan mangsa terbabit telah dipindahkan. – AFP