Hari ini, orang mempertikaikan agama kerana tidak mengenali Rasulullah yang membawa agama Allah cuma jangan diagungkan Rasulullah melebihi hadnya.
Tambahkan kecintaan pada Rasulullah. Kita adalah umat yang telah dipilih oleh Allah, kita juga umat yang dicemburui oleh semua para nabi sehinggakan ada di antara nabi yang memohon pada Allah untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW.
Majlis maulid atau pengajian kitab berkenaan Nabi Muhammad tidak lain tidak bukan adalah untuk menambah kecintaan pada Rasulullah dan apabila bertambah cinta pada Rasululluh orang ini akan mentakzimkan syariat Allah.
Ketika Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir menerima jemputan untuk bacaan Kitab Syamail Muhammadiyah selama 2 minggu di Jordan, mereka dibawa ke sebatang pokok yang berusia lebih 2,000 tahun.
“Suatu ketika dahulu di sinilah Buhaira menunggu nabi akhir zaman yang akan singgah di bawah pokok ini. Dilihat Buhaira Rasulullah berjalan dilindungi awan sebelum berhenti berteduh di bawah pokok itu,” ujarnya.
Ajaibnya, Buhaira menjemput semua pedagang untuk menjamu selera di tempat ibadahnya sedangkan sepanjang perjalanan Abu Talib dari Mekah ke Syam selama 13 tahun belum pernah dilakukan sedemikian lalu dinasihati kepada bapa saudara Nabi agar menjaga baginda dengan baik.
“Menurut guru kami Syeikh Ali Jumaah Hafizahullah, dulu di kawasan ini terdapat banyak pokok, lama kelamaan pokok-pokok telah mati dan inilah satu-satunya pokok yang masih ada kerana Nabi pernah singgah berteduh.

“Waktu itu terlintas di fikiran saya, kalaulah Rasulullah singgah sebentar dalam hati kita Insya-Allah hati tidak akan mati sepertimana pokok yang tidak mati ketika disinggahi Nabi yang agung,” katanya.
Lalu katanya, bagaimana supaya nabi singgah di dalam hati kita? Kenali nabi, baginda manusia luar biasa kerana apa sahaja yang keluar dari badannya tidak najis.
“Hikmahnya badan Nabi jadi mulia setelah dibedah dadanya oleh malaikat maka seluruh jasadnya bersih dan suci maka orang yang selalu ingat Rasulullah dianggap dekat dengan baginda,” katanya.
Menurutnya, 3 perkara sepatutnya diajar pada anak-anak ialah mencintai rasulullah, ahli keluarga baginda dan membaca al-Quran.
“Seseorang yang mengenal Nabi Muhammad SAW sebagai utusan yang membawa syariat Allah sudah pasti mereka akan cuba melihat siapa yang mengutus Rasulullah. Rasulullah itulah tanda kebesaran Allah jadi dengan mengajak cinta kepada Rasullah hakikatnya mengajak cinta pada Allah,” luahnya.
Beliau turut menulis Syair tentang akhlak Rasulullah dalam buku bertajuk Syamil Fikullisatil As Syamail yang turut menceritakan kesungguhan para sahabat mengikuti jejak langkah sebagai bukti cinta pada Rasulullah.
“Kerana cinta pada Rasulullah apa sahaja yang baginda suka akan diikuti para sahabat misalnya Abdullah bin Umar pernah melihat Rasulullah menaiki kuda dan berhenti di suatu tempat untuk berjumpa seseorang. Setelah kewafatan baginda, Abdullah berhenti di situ mengambil sunah walaupun tiada sesiapa di situ.
“Dalam kisah yang lain, para sahabat tertanya-tanya mengapa kamu duduk di bawah pokok itu? Katanya, aku mendengar Rasulullah bersabda pokok itu pernah disinggahi 300 para nabi suatu ketika dahulu.
“Lihatlah begitu bersungguh-sungguhnya para sahabat mencontohi apa sahaja yang datang daripada nabi sebagai tanda kasih dan sayang pada junjungan mulia.
“Kita semua adalah pendosa jangan mati sebelum terbit cinta pada Rasulullah, selalu memohon keampunan pada Allah, minta jadi orang yang baik. Kita sering kalah kerana nafsu tetapi jangan hilangkan cinta pada Rasulullah dengan selalu berselawat yang akan membimbing umat akhir zaman,” pesannya.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam supaya menghormati setiap bidang masing-masing termasuk hal ehwal agama.
“Perniagaan Islam, doktor ada bidangnya, kalau kereta rosak saya akan ke bengkel boleh ke saya komen mekanik sedangkan bukan bidang saya jadi semua perlu menghormati bidang masing-masing.
“Tetapi kenapa bidang agama semua orang boleh masuk campur? Semua boleh bahas hanya menggunakan aplikasi sedangkan baca pun tidak betul bagaimana mahu keluarkan hukum?” soalnya.
Beliau mendakwa semua ini berlaku adalah kerana jahil, tidak ada ilmu, tidak mengenali Rasulullah dan paling menyedihkan hadis dhaif ditolak terus.