Pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 atau yang setaraf dengannya boleh membuat semakan keputusan ke Universiti Awam (UA) bagi pengajian sesi akademik 2022/2023 bermula 25 September ini.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya pada 19 September 2022 memaklumkan pelajar boleh membuat semakan secara dalam talian mulai 25 September pada pukul 12 tengah hari sehingga 4 Oktober ini jam 5 petang.
Mereka boleh melayari laman sesawang seperti berikut:
1. https://jpt.utm.my
2. http://jpt.uum.edu.my
3. https://jpt.unimas.my
4. http://jpt.ums.edu.my
5. http /jpt.umt.edu.my
Selain dari itu mereka juga boleh memuat turun aplikasi UPUPocket yang terdapat di Google Play Store bagi peranti Android dan App Store bagi peranti iOS untuk membuat semakan menggunakan telefon pintar.
Dalam kenyataan itu lagi, pengesahan penerimaan atau penolakan tawaran pula akan bermula pada 26 September sehingga 4 Oktober ini melalui laman sesawang rasmi UA.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya dan boleh dicetak mulai 26 September ini setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, turut dimaklumkan hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran program pengajian sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dalam tempoh 10 hari mulai 25 September pukul 12 tengah hari sehingga 4 Oktober ini pukul 5 petang.
Tawaran tempat bagi sesi akademik 2022/2023 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA adalah tidak dibenarkan.