UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Semangat keserakanan resipi keutuhan PERPATI

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Media PERPATI/UUM Today

SINTOK, 2 April – Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERPATI) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Program Semarakkan Ramadan dengan mengadakan dua program pada hari yang sama iaitu Program Bubur Lambuk dan Majlis Iftar PERPATI bertempat di Masjid Sultan Badlishah, semalam.

Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi di Dapur Memasak Masjid Sultan Badlishah telah disertai lebih 20 ahli PERPATI bagi menyiapkan dua periuk bubur lambuk untuk diagihkan kepada lebih 200 ahli PERPATI dan warga UUM.

Pada sebelah petangnya, program diteruskan dengan Majlis Iftar PERPATI yang diadakan di ruang solat Masjid Sultan Badlishah. Lebih 100 orang telah menyertai majlis tersebut yang terdiri daripada ahli PERPATI dan keluarga masing-masing.

Majlis diserikan dengan kehadiran Pendaftar UUM selaku Penasihat PERPATI, Ahmad Rasidi Abdullah diiringi oleh Presiden PERPATI, Mohd Zulkifli Mohd Noor @ Muhammad.

Mohd Zulkifli berkata, PERPATI merupakan sebuah persatuan yang gah di UUM sejak ia ditubuhkan dan merupakan platform bagi menyatukan semua pegawai dari pelbagai bidang kepakaran dan skim.

“Resepi utama PERPATI masih utuh adalah sikap kerjasama dan bersatu padu serta yang paling penting semangat Ilmu, Budi, Bakti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Rasidi dalam ucapannya berkata, konsep keserakanan di mana ia merupakan salah satu elemen penting dalam kelestarian sesebuah organisasi yang menghubungkan aspek inter-personal ahli-ahli sehingga akhirnya membawa kepada pencapaian dan penghasilan produktiviti yang mampan secara secara kolektif.

“Setiap pegawai tidak kira yang baru atau yang lama, perlu bersatu padu, bekerjasama dan sedia untuk berkongsi idea dan tenaga.

“Sikap bekerja secara “silo” akan meninggalkan dampak yang buruk kepada universiti dan organisasi. Hal ini dapat menimbulkan persaingan internal dan menimbulkan kurangnya kepercayaan dalam kalangan pegawai,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua ahli PERPATI agar sentiasa cakna dan peka dengan perubahan yang berlaku di dalam UUM, agar dapat menjaga imej profesional serta memastikan setiap informasi yang disampaikan sentiasa tepat dan relevan.  

Pada majlis itu, Ahmad Rasidi turut menyampaikan sumbangan PERPATI Prihatin kepada Pegawai Tadbir, Unit Integriti, Jabatan Canselori, Imran Ismail yang masih menerima rawatan dan sumbangan tersebut diserahkan kepada Halim Md. Yatim yang mewakilinya.

Majlis diserikan lagi dengan tazkirah ringkas Ramadan yang disampaikan oleh Mohd Yusnaidi Md. Sabri.