UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sembilan hala tuju teruskan kecemerlangan 

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok – Mengangkat tema ‘Empat Dekad Pemacu Transformasi: Pengurusan Pendidikan, Teknologi dan Komuniti’, sembilan hala tuju digariskan bagi meneruskan kecemerlangan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka. 

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, hala tuju pertama adalah untuk mencapai keunggulan global, sesuai dengan fokus UUM sebagai universiti pengurusan, kita berusaha memastikan berada di kedudukan Nombor Satu dalam Top Business School di Malaysia.    

“Sasaran UUM juga untuk meletakkan UUM berada di kedudukan nombor 20 di Asia dan kedudukan top 200 dalam QS World MBA Ranking, selain meneruskan usaha meletakkan UUM mendapat triple crown dalam akreditasi. UUM kini telah mendapat akreditasi AACSB dan AMBA serta dalam usaha bagi mendapatkan akreditasi E-QUIS,” ujarnya.

Katanya, dalam usaha memperkukuh keterlihatan UUM di peringkat global, hala tuju kedua iaitu memperkasa kerjasama strategik antarabangsadan menyasarkan seramai 3,000 enrolmen baharu pelajar antarabangsa pada tahun ini.

“Bagi memastikan UUM sentiasa releven untuk 10 tahun mendatang, kita sewajarnya memulakan langkah seiring dengan perkembangan zaman dan teknologi dengan mentransformasi sistem pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan bakat kalis masa depan.

“17 program ODL (Open and Distance Learning) akan mula ditawarkan pada tahun 2024, selain kursus microcredential dan penawaran MOOC (Massive Open Online Course),” ujarnya pada Majlis Amanat Naib Canselor Dan Perhimpunan Bulanan Staf 2024 di Auditorium SOIS, pagi tadi.

Jelasnya, untuk memantapkan pengurusan kewangan, UUM perlu menjana melalui sumber dalaman sebanyak 25 peratus iaitu sekitar RM90 juta. Ini kerana sumbangan geran kerajaan sekitar 75 peratus atau kira-kira RM300 juta bermakna kita menyasarkan penjanaan sebanyak RM97 juta.

Menurutnya, dalam usaha memperkukuh pengurusan sumber manusia bermula tahun ini, laluan kerjaya bagi staf akademik berpandukan empat laluan kerjaya (Four Track) iaitu Regular Track, Accomplished Researcher Track, Inspiring Lecturer Track dan Institutional Leadership Track akan dijalankan secara percubaan manakala untuk penilaian staf pentadbiran dibangunkan rangka Competency Based Talent Management (CBTM). 

“Kita berhasrat membangunkan kapasiti bakat masa depan dan memperkasakan mahasiswa. Pada tahun 2023, pelajar banyak mencipta kejayaan yang membanggakan misalnya memenangi 4 kategori Tokoh Siswa peringkat kebangsaan hasil usaha HEPA. 

“UUM tekad memperkasa penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengkomersilan.Penyelidikan menjadi asas penting dalam menjana aktiviti seperti penerbitan, pengajaran, jaringan dengan industri, pihak kerajaan, komuniti tertentu dan masyarakat. UUM sewajarnya mewarnai ekosistem baharu dalam penawaran geran ke arah berimpak tinggi,” ucapnya.

Dalam memperkukuh ekosistem digital dan infrastruktur UUM secara menyeluruh beliau berkongsi perkembangan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur, teknologi dan pengurusan ke arah menjadi Universiti Pintar Tahun 2026. 

UUM sedia memperluas akses program pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan masyarakat berilmu dengan menyediakan setiap pusat pengajian mempunyai satu program pembelajaran sepanjang hayat.   

“Kita terus bergerak memberi dan membangunkan komuniti seperti dalam objektif ketiga penubuhannya. Justeru, projek atau program Satu Pusat Pengajian satu Daerah akan diteruskan bagi menjadi saluran transfer knowledge yang terbaik antara universiti dan masyarakat,” tambahnya.

Selain itu katanya, sempena sambutan 40 tahun dan Tahun Melawat UUM 2024, lebih 40 program utama telah dirancang misalnya menubuhkan Tabung Sumbangan 40 Tahun UUM yang disalurkan untuk membantu pelajar dan staf yang memerlukan.

Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) akan diadakan untuk staf UUM yang berkhidmat lebih 25 tahun yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah selain Program Homecoming Mega bersama alumni dengan pelbagai aktiviti menarik.