Oleh Amira Suraini Che Mohamad
SINTOK: Cerita lama dan kenakalan sewaktu di kampus dahulu menghiasi paparan dalam kumpulan Facebook UUM Alumni – Universiti Utara Malaysia.
Mana tidaknya, hampir 20, 000 alumni yang ‘berkumpul’ di situ menjadikannya sebagai medan mengenang kembali pelbagai kisah suka dan duka mereka.
“Soalan ‘evergreen’, apa killer paper hangpa di UUM,” tulis seorang alumni yang menggunakan nama Rappy Raddy pada suapan (posting) kumpulan berkenaan.
Antara suapan yang masih diberikan komen sehingga kini, “Apa kolej yang korang menginap waktu di Sintok?” dan perkongsian tentang seorang peniaga dikenali sebagai Mak Cik Curry.
Merentasi suatu tempoh lama tanpa bertemu rakan seperjuangan, pastinya terselit cebisan kisah yang mengingatkan kita kepada erti sebuah persahabatan.
“Mana geng-geng KEPEON (Kelab Penyokong Kolej Eon) ni?,” tulis Ahmad Talib pada kapsyen sehelai baju yang masih disimpan Mohd Shuhaimi Ahmad sejak 22 tahun lalu.
Suapan itu membawa alumni dari kolej penginapan terbabit untuk kembali bernostalgia dengan turut memuatnaik gambar-gambar lama mereka.
“Zaman kegemilangan Kolej Eon… KEPEON merupakan pasukan sorak paling digeruni,” tulis seorang alumni manakala seorang lagi memberi cadangan, “Genap 25 tahun cetak semula untuk design pertama. Letak ayat 25 tahun pada baju tu.”
Dalam suapan terbaharu, seorang lagi alumni UUM, PakNgoh Nuor turut berkongsi gambar kenangan bersama rakan seperjuangan di tugu UUM.
Gambar bertarikh 5 Mac 1994 itu diambil di tugu lama UUM yang kini telah digantikan dengan tugu baharu.
Suapan itu mendapat puluhan komen yang rata-ratanya berbangga dengan talian persahabatan mereka yang utuh walaupun telah berdekad meninggalkan alam pengajian.
“Alhamdulillah talian persahabatan masih kekal walau lama meninggalkan menara gading, sesuatu yang sangat dicemburui,” tulis Saiful Izzaudin Mohamad Yusoff.
Penulis juga merupakan alumni UUM yang bergraduasi pada 2013 dalam jurusan Teknologi Media (Kewartawanan) dan kini meneruskan pengajian di peringkat Sarjana.
Tempoh 3 tahun di Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Muamalat dan kenangan bersama rakan dalam persatuan Tarian Melayu Tradisional dahulu, tidak sesekali dilupakan.
Setiap detik dilalui menjadi suatu kenangan bermakna yang mengiringi langkah perjalanan menggapai cita-cita.




