SINTOK – Seramai 6,694 graduan menerima ijazah masing-masing sempena Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) kali ke-35 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah UUM Sintok di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 5,743 graduan adalah graduan peringkat sarjana muda, manakala 951 graduan adalah peringkat pascasiswazah.
Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, mengisytiharkan sesi pertama Majlis Konvokesyen UUM dan menyampaikan ijazah kepada 82 graduan dan 35 graduan sarjana muda yang meraih anugerah kecemerlangan dalam akademik.

Pengijazahan kali ini juga menyaksikan enam graduan sarjana muda menerima dua ijazah serentak (dwi-ijazah) iaitu program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (logistik dan pengangkutan).
Baginda yang juga Canselor UUM turut menyampaikan ijazah kepada dua graduan Doktor Pengurusan, 22 graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan, sembilan graduan Sarjana Pengurusan Perniagaan, tiga graduan Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia, tiga graduan Sarjana Percukaian dan seorang Sarjana Sains Pengurusan Risiko.

Di majlis konvokesyen graduan terakhir 2022 yang tertangguh kerana serangan COVID-19 ini juga turut menyaksikan seorang pesara berusia 86 tahun, Mohd Tahir Ahmad menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan atau DBA daripada Tuanku Sultan Kedah.