UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Setiausaha Politik PM jumpa Pemimpin Pelajar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Kirti Vithyananthan (Pelajar Pelatih dari SMMTC)

Gambar Mohd Fuad Hamid dan Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK, 24 Januari – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri di Kementerian Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim telah berkongsi buah fikiran mengenai pemerkasaan mahasiswa dan tingkatkan kualiti kepimpinan mahasiswa di Majlis Perasmian Sumbangan Saran Pemerkasaan Mahasiswa Madani pada Isnin lalu.

Sesi perkongsian yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMap) ini turut melibatkan pandangan mengenai hubungan erat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan golongan muda.

Muhammad Kamil turut berkongsi pengalaman sejarah menunjukkan perdana menteri sangat akrab dengan pemuda, bahkan melantik Setiausaha Politik yang muda.

Menurutnya, ini mencerminkan pendekatan yang memberi peluang kepada golongan muda untuk terlibat secara langsung dalam sektor pentadbiran.

“Dengan sikap dan sifat ini, perdana menteri mampu melahirkan generasi muda yang berwibawa untuk memimpin,” katanya.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli menyatakan komitmen universiti dan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan pemimpin masa depan negara yang memiliki kualiti keilmuan, keterampilan dan kompetensi akademik, keteguhan dimensi moral dan berwatak glokal.

Menurutnya, inisiatif ini dijangka memberikan impak yang besar dalam pembangunan pemimpin masa depan, membentuk kualiti yang melampaui kecemerlangan akademik semata-mata.

Majlis Perasmian Inisiatif Pemerkasaan Mahasiswa Madani ini merupakan sambungan daripada Kem Kepimpinan Mahasiswa UniMap yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Kem PLKN, Sintok.

Seramai 140 pelajar UniMap termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), jawatankuasa tertinggi kelab dan jawatankuasa tertinggi kolej kediaman turut serta dalam kem kepimpinan tersebut.

Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed serta MPP UUM.

Terdahulu, Muhammad Kamil telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Canselor di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.