UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sidang Parlimen Mahasiswi Universiti Awam dan Swasta bahas tiga usul

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Buat pertama kali, Persidangan Parlimen Mahasiswi Universiti Awam dan Swasta di Malaysia anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPPUUM) akan membahaskan tiga usul utama.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Cuping, Asmaiza Ahmad bertindak sebagai Speaker persidangan berkenaan.

Program yang dinamakan Parlimen Mahasiswi Unggul Malaysia berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Bilik Mesyuarat Senat UUM mencadangkan agar kerajaan memandang serius terhadap pemerkasaan dasar inklusif orang kurang upaya (OKU) dan aksesibiliti serta peningkatan kebolehpasaran mahasiswi dalam menjamin hak mahasiswi yang menyeluruh.

Usul kedua, perincian pelan strategik dan inisiatif berterusan dalam membasmi isu kemiskinan haid dalam kalangan mahasiswi, manakala usul ketiga membahaskan isu peningkatan taraf kesihatan mahasiswi melalui pendidikan dan fasiliti yang holistik.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan ketika merasmikan pembukaan majlis berkenaan berkata, persidangan itu menjadi platform terbaik untuk membina kepimpinan terutamanya dalam kalangan mahasiswi.

“Selama 66 tahun kita merdeka, penglibatan wanita dalam bidang politik dan sektor strategik negara termasuk menjadi ketua eksekutif di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih berada di tahap yang rendah.

“Justeru, saya berharap mahasiswi ahli parlimen sahutlah cabaran bahawa anda semua generasi yang akan memimpin kepimpinan mahasiswi atau kepimpinan politik wanita pada dekad yang akan datang,” katanya.

Seramai 54 mahasiswi mewakili 15 universiti di Malaysia menyertai persidangan Parlimen Mahasiswi Unggul Malaysia.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM, Muhammad Iskandar Zulkarnain serta Pengarah Program Rintis Mahasiswa Unggul Malaysia 2023, Kavines Nair Ananthan. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam