UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sijil Halal Malaysia bantu usahawan tempatan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Institut Pengurusan Halal (IHM) di bawah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sempena kejayaan IHM membantu usahawan tempatan dalam Program Pensijilan Halal Malaysia.

Program Pensijilan Halal Malaysia ini merupakan unjuran dari lantikan IHM sebagai perunding cara Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui geran MARA Pensijilan Usahawan – Business Enrichment, Standardization and Trasnformation (BEST).

Dua syarikat yang diraikan pada majlis ini ialah Syarikat Qulusa (M) Sdn Bhd dan Eita Kitchen Sdn. Bhd. (Cekta Bakery).

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, melalui pelaksanaan latihan dan kursus halal yang dianjurkan oleh IHM sebagai Penyedia Latihan Halal (PLH) di bawah JAKIM serta Perunding Cara – Panel Keusahawanan MARA ini akan membuka ruang kerjasama yang lebih erat dengan pihak industri berkaitan penyediaan makanan, perhotelan dan sebagainya.

Menurutnya, sepanjang penubuhan IHM pada tahun 2021 di IBS, IHM kerap dijemput oleh pihak industri untuk mengadakan latihan halal.

“Jelas bahawa hasrat universiti untuk menjadi pemangkin dalam mengembangkan pengurusan halal untuk ummah sedikit sebanyak terlaksana,” katanya.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Dato’ Dr. Abd. Ghani @ Zulkifli Zainuddin dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada kedua-dua syarikat yang diraikan kerana berjaya mendapatkan Sijil Halal Malaysia.

Beliau turut berpesan agar syarikat tersebut terus komited dengan pensijilan halal dan mengekalkan integriti halal sepanjang masa.

Timbalan Pengarah MARA Negeri Kedah, Mohd Ridzuan Romli turut menambah bahawa setiap agensi kerajaan memainkan peranan dan tanggungjawab yang besar dalam membimbing serta meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan halal dalam kalangan masyarakat awam termasuk usahawan tempatan.

“Hal ini adalah kerana halal bukan sahaja difahami dengan maksud suci, bahkan juga sebuah manifestasi keteraturan dan profesionalisme serta disiplin dalam kehidupan bagi merealisasikan tindakan serta usaha murni mencapai redha Allah dalam semua bidang.

“Justeru itu, marilah semua usahawan untuk turut serta bersama MARA dalam pelbagai lagi program inisiatif yang sedang ditawarkan,” katanya.

Majlis diteruskan dengan Majlis Pelancaran Kelab Sahabat Halal (KESAH) yang telah dirasmikan oleh Dr. Mohd Foad selaras dengan penawaran program pengajian baharu di Pusat Pengajian Perniagaan Islam iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Halal dengan Kepujian (Mod 3u1i).

Hadir sama, Timbalan Pengarah JHEAIK, Dato’ Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim. – Dr. Nor Aina Mhd Khotib