UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SISKOR serlah jati diri mahasiswa

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Berbekalkan semangat kental dan kerjasama padu pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menjayakan Kem Pemantapan Jati Diri Warga SISKOR di BBC Campsite, Kangar, Perlis.

Pengarah program, Nur Aini Sofia berkata, program ini mendedahkan 17 pelajar dari Kor Siskor Kumpulan A dengan pelbagai aktiviti setelah dua semester mengharungi pembelajaran secara dalam talian.

Jelasnya, objektif perkhemahan ini untuk memupuk semangat berkerjasama selain menanam nilai keprihatinan terhadap orang awam yang memerlukan bantuan di samping mengaplikasikan pengetahuan kelangsungan hidup seperti yang dipelajari di dalam kelas.

“Perkhemahan ini berjalan dengan baik mengikut perancangan walaupun banyak cabaran yang dihadapi misalnya hujan tidak berhenti dari pagi sehingga malam, namun kesemua peserta dan jurulatih tetap bersemangat,” ujarnya.

Mahasiswa turut diiringi pegawai Penjara Alor Setar, Mohd Hanif Hafizri yang banyak membantu melancarkan lagi aktiviti memberi pendedahan berkaitan sejarah dan hal-hal penjara berkongsi pengalaman ketika bekerja di penjara.  

KOR SISKOR bertujuan untuk mendedahkan pelajar mengenai organisasi penjara, sejarah dan kepentingan dalam pembangunan negara. Pelajar juga akan didedahkan Jabatan Penjara Malaysia dan asas sukarela, perbuatan, tindakan, peraturan dan undang-undang penjara serta latihan berbaris.

Sementara itu, Nur Farisha Zainol berpuas hati dengan aktiviti yang disifatkan sebagai pengembaraan terbaik sepanjang pengajiannya di UUM selain merapatkan ukhuwah bersama rakan KOR SISKOR.

“Ia merupakan satu-satunya waktu kami dapat mengenali satu-sama lain dengan lebih mendalam dan mencipta memori yang tidak ternilai walaupun kami sudah berada di kelas yang sama selama dua tahun.

Katanya, menyantuni orang kampung sambil menikmati keindahan dan merasai suasana desa dengan kehijauan sawah padi turut meninggalkan kenangan manis.

“Ketika sampai di Masjid As-Solihin, Kampung Chuping untuk membersihkan masjid kehadiran kami disambut mesra oleh penduduk yang menzahirkan rasa gembira kerana sudah lama tidak ada kunjungan sebegini ekoran pandemik Covid-19.

“Pihak masjid dan penduduk menyambut rombongan kami dengan penuh mesra serta menyediakan jamuan. Pengalaman yang menyeronokkan dalam usaha mengumpul ilmu baharu tentang perkhemahan,” ujarnya.

Manakala Jagadeesan A/L Chandra Segaran, teruja menimba pengalaman yang cukup bermakna sekali gus meningkatkan tahap jati diri.

“Kem dua hari satu malam ini melaksanakan program menyeronokkan seperti perkemahan, sukaneka dan mendaki Bukit Jernih yang merupakan aktiviti kegemaran dengan pemandangan yang cantik mempesona serta menyegarkan minda. 

“Dalam sesi BBQ pula, kami bukan sahaja dapat menikmati juadah yang dimasak bersama malah mendengar sesi dari kaunselor penjara di samping mengeratkan hubungan antara jurulatih dan rakan sekelas,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang aktiviti berlangsung, peserta mempelajari semangat berpasukan terutamanya ketika menghadapi rintangan namun tidak mematahkan semangat serta saling membantu termasuklah ketika aktiviti pemasangan khemah hingga ke pendakian.