UUM Today

Siti Shazwana sumbang pingat perak dalam 19th World Pencak Silat Championship 2022

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

AYER KEROH: Meskipun tewas kepada pesilat negara jiran, pelajar program Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Awam, Siti Shazwana Ajak tetap menyumbang pingat perak kepada negara dalam acara pencak silat di 19th World Pencak Silat Championship 2022, baru-baru ini.

Beliau tewas kepada pesilat dari Indonesia, Atifa Fismawati dengan perbezaan mata 20 berbalas 25 di peringkat akhir setelah berjaya menewaskan pesilat dari Vietnam di peringkat separuh akhir.

Kata Siti Shazwana, walaupun tidak dapat membawa pulang pingat emas tetapi dia bersyukur sekurang-kurangnya tetap mendapat pingat perak, sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan sudah pasti Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Mendapat tempat kedua dalam kejohanan membuatkan semangat saya semakin berkobar untuk terus memperbaiki kekurangan yang ada agar saya dapat mempamerkan aksi lebih baik dalam kejohanan akan datang.

“Pada masa sama, saya telah dapat memperbaiki pencapaian diri dalam World Pencak Silat Championship. Sata berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan termasuk pihak universiti,” katanya yang mewakili pasukan negara bagi kelas D.

Siti Shazwana dipilih mewakili Malaysia yang menjadi tuan rumah bagi kejohanan pencak silat itu yang telah berlangsung dari 26 hingga 31 Julai lalu di Melaka International Trade Centre (MITC).

Pada edisi lalu, Siti Shazwana merangkul pingat gangsa bagi kelas yang sama.

Kejohanan pencak silat dunia ini telah disertai lebih 500 orang pesilat dari lebih 40 buah negara termasuk Indonesia, Thailand, India, Vietnam dan Kanada.

Siti Shazwana Ajak menunjukkan pingat perak dan sijil yang dimenangi dalam 19th World Pencak Silat Championship 2022.