UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SKM beri nilai tambah selepas tamat pengajian

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Nur Hazlina Ghazali/UUM Today

SINTOK, 1 Februari – Perjumpaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bersama Pengurus Pusat Bertauliah Skim Latihan Dual Nasional (SLDN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Muhamad Fikri Aziz telah memberi peluang kepada beberapa pusat pengajian untuk menawarkan Program Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah SLDN.

Perjumpaan Jabatan Pembangunan Kemahiran itu diketuai oleh Pengarah, Bahagian Hubungan Industri dan Kerjasama Strategik, Faizah Harun di Bilik Mesyuarat LPU, UUM pada 30 Januari lalu.

Menurut Faizah, inisiatif Program SLDN ini adalah berlandaskan kepada pendekatan industri ‘demand driven’ (didorong oleh permintaan) yang dilaksanakan atas dasar permintaan industri berkonsepkan ‘place and train’ (penempatan dan latihan).

Menurutnya, program itu juga dapat meningkatkan purata pencapaian pendidikan negara, mengurangkan jurang ketidakpadanan kemahiran dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Sementara itu, Dr. Muhamad Fikri yang mewakili Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad turut memaklumkan kepada wakil-wakil dekan di mana beliau akan membantu pusat pengajian dan pusat tanggungjawab di UUM yang berminat atau terpilih untuk melalui proses pentauliahan terlebih dahulu berdasarkan pengalaman beliau yang telah menguruskan hampir 2 tahun Pusat Bertauliah SLDN di bawah Pusat Pengajian Perniagaan Islam.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa seramai 36 perantis yang akan tamat pengajian di dalam bidang Penyeliaan Operasi Halal (Tahap 3) pada Januari merupakan produk pertama SKM di UUM melalui kaedah SLDN.

Pelajar atau perantis yang akan mengikuti program ini akan menerima bayaran insentif dan Sijil Kemahiran Malaysia mengikut tahap yang diikuti.

Program ini juga turut memberi peluang kepada kakitangan UUM untuk memberi sumbangan serta berkongsi kepakaran kepada industri dan masyarakat.

Kerjasama antara dua agensi ini iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran dan UUM akan dapat menyelesaikan pelbagai cabaran berkait peluang pekerja, peluang belajar dan dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja berkemahiran dalam kalangan graduan yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia.