UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SLCP lakar sejarah pementasan teater ‘Buat Menyapu Air Mata’ tarik 500 penonton

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Alma Nur Fajrina Abdul Razak

Gambar SLCP/UUM Today

SINTOK, 23 Januari – Buat julung kalinya, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif melakar sejarah baru dengan penganjuran sebuah pementasan teater hasil olahan skrip karya Allahyarham Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Awang Had Salleh, mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pertama bersempena 40 tahun penubuhan UUM.

Pementasan teater tersebut turut mendapat kerjasama Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (UBSBM), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun, dan Falsafah (SLCP) diadakan di Dewan Tan Sri Othman (DTSO), UUM telah berjaya menarik penonton kira-kira 500 orang dari dalam dan juga luar.

Antara yang turut menyaksikan pementasan ini ialah Puzi Hadi iaitu Presiden Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA), penulis terkenal Amelia Hashim, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu serta warga Sekolah Kebangsaan Changlun.

Pengarah Pementasan Teater, Mohamad Idham Mohamad Nadzri berkata, beliau rasa gembira dan kagum terhadap rakan-rakan seperjuangan dalam menjayakan teater pertama mereka meskipun latihan dan persiapan diadakan dalam tempoh yang agak singkat dan rata-rata pelakon tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan dan teater.

Menurutnya, kejayaan ini sungguh memberi inspirasi, melihat pelajar dan pensyarah dari pelbagai latar belakang bersatu hati demi menjayakan pementasan.

“Sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan membuktikan bahawa sastera mampu menjadi bahan pengajaran dan ejen perpaduan negara. Kejayaan luar biasa pementasan teater pertama oleh pelajar SLCP ini adalah bukti keberanian dan semangat inovatif mereka dalam mengaplikasikan segala kemahiran dan teori yang dipelajari dalam bilik kuliah.

“Dalam usaha mementaskan karya Allahyarham Awang Had Salleh, mereka tidak hanya menciptakan keterlibatan tontonan yang mengagumkan tetapi juga menyumbang kepada semangat kepelbagaian dan kesatuan di UUM. Pementasan ini bukan hanya kemenangan seni tetapi juga kemenangan semangat kolektif,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Pementasan Teater, Dr. Maizatul Azura Yahya berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa bangga terhadap pencapaian gemilang pelajar SLCP, khususnya mereka yang berada di tahun akhir.

“Mereka berani menghadapi cabaran dan berhasil mencipta kejayaan yang membanggakan tidak hanya buat diri mereka, tetapi juga buat seluruh pensyarah UBSBM.  

“Pencapaian ini bukan sahaja merealisasikan impian pelajar-pelajar itu sendiri tetapi juga menjadi kejayaan yang lama dinantikan,” katanya.

Pementasan teater karya Allahyarham Awang Had Salleh ini mengisahkan tentang cinta tiga segi antara tiga sahabat iaitu Samad (Hanafi Zulkefli), Aini (Maryam Mazlan) dan Kamal (Haiqal Nazri). Pelakon yang memegang peranan utama dalam teater ini merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari Dan Pengurusan Industri Kreatif.

Sejajar dengan usia penubuhan UUM yang ke-40, pementasan teater ‘Buat Menyapu Air Mata’ bukan sekadar apresiasi terhadap Naib Canselor pertama UUM, tetapi menjadi wadah dalam memupuk kepelbagaian kemahiran dan penyeimbangan antara intelek dan kemanusiaan melalui kesusasteraan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti.