UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Smart Anchors@UUM jayakan matlamat MEKAR

SINTOK – Kerajaan Malaysia komited membangunkan aspek pendidikan tinggi dengan menyebarluas peranan universiti itu sendiri dalam membangunkan komuniti sekitar. Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, agenda ‘merakyatkan universiti’ berupaya untuk menyokong tanggungjawab sesebuah universiti untuk memperkasa masyarakat.

Aspirasi ini turut mencetus satu gagasan dan persepektif baharu bagi Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila mewujudkan program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) sebagai program berimpak tinggi universiti.  

Lantaran itu pelbagai bentuk program dan aktiviti dilaksanakan bagi menjayakan agenda merakyatkan universiti. Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Pengurusan Acara (STHEM) tidak ketinggalan menyahut seruan murni itu. hasil kerjasama dengan Inapan Siswa (Inasis) Tradewinds UUM, seramai 80 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selama diraikan dalam majlis graduasi Program Smart Anchors@UUM yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Penginapan Pelajar (SAC).

Dalam ucapannya, Dekan STHEM, Prof Madya Dr Kamal Izzuwan Ramli berkata, Program Smart Anchors@UUM merupakan manifestasi program MEKAR untuk membantu pelajar sekolah menengah yang rata-ratanya berlatarbelakangkan kumpulan B40.

“program ini dilaksanakan sejajar dengan perancangan UUM dalam membantu membangunkan komuniti setempat dari aspek ekonomi, pendidikan dan sosial. Dalam hal ini, STHEM telah menerima SMK Selama sebagai anak angkat bagi program murni ini.

Izzuan turut menyatakan harapannya kepada para peserta agar dapat memanfaatkan peluang, ilmu serta pengalaman yang ditimba selama tiga hari dalam program tersebut.

“Terima kasih kepada semua pelajar atas kesudian menyertai program ini dan tahniah kerana telah menjejakkan kaki ke menara gading. Semoga program Smart Anchors@UUM ini menjadi inspirasi dan azam untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi”, katanya.

Program Smart Anchors@UUM yang berlangsung bermula 7 hingga 9 Mac itu telah ditaja oleh NAS Relief Consultant dan berjaya diisi dengan pelbagai pengisian antaranya slot motivasi, slot kemahiran bahasa Inggeris, perkongsian pengalaman bersama kaunselor serta pengenalan dunia universiti dan kampus.