Gambar SMMTC/UUM Today
PENDANG: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan INASIS Bank Rakyat telah menganjurkan Kem Kepimpinan Pengawas dan Pembimbing Rakan Sebaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang melalui Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) di bawah inisiatif UUM dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Dekan SMMTC, Prof. Madya. Dr. Mohd. Khairie Ahmad berkata, Program MEKAR ini bertujuan menjalin kerjasama antara Institusi Pengajian Tinggi dengan masyarakat setempat dari aspek pembangunan sosial dan pendidikan.

Menurutnya, bagi Program Kem Kepimpinan kali ini, fokus diberikan kepada pembangunan sahsiah dalam kalangan pemimpin pelajar di SMK Sungai Tiang dengan pelbagai aktiviti yang diharapkan dapat memupuk sikap yang lebih positif dan meningkatkan kemahiran kepimpinan pelajar.
“Program ini diharap dapat menyediakan kemahiran asas dan galakan kepada peserta yang bakal menjadi generasi pemimpin masa depan.
“Kem ini merupakan salah satu agenda dalam memperkasa agenda memasyarakatkan universiti, di samping memotivasi pelajar luar bandar melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, seterusnya menjadi anak muda yang membangunkan agama, bangsa dan negara pada masa hadapan,” katanya di Majlis Perasmian Kem Kepimpinan tersebut, baru-baru ini.

Seramai 66 pelajar terdiri daripada pengawas dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah menyertai dalam program itu yang diadakan selama dua hari pada 10 November lalu.
Program ini turut mendapat kerjasama pelajar dari INASIS Bank Rakyat (IBR) dan persatuan-persatuan pelajar SMMTC sebagai fasilitator untuk membantu peserta meningkatkan semangat kepimpinan.
Peserta, Amira Natasha Shalkif berkata, dia sentiasa menjadikan Nabi Muhammad sebagai idola pemimpin dan bercita-cita untuk menjadi ahli forensik suatu hari nanti.

Melalui program yang sama, pengenalan kepada modul-modul kepimpinan meningkatkan lagi potensi diri peserta dan kesedaran kepentingan semangat berpasukan. Peserta diukur melalui kecergasan diri dengan mendirikan khemah dan memberi maklum balas terhadap modul-modul berimpak tinggi dan aktiviti berpasukan yang dijalankan sepanjang dua hari tersebut.
Bagi meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa terhadap peri pentingnya pendidikan anak-anak, slot ceramah “Anakku Bukan Sazali: Anak Pembina Kekayaan Keluarga” telah disampaikan oleh mantan Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Dato’ Sheikh Ahmad Faisol Omar. – Normizan Yusoff