UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Solat hajat kukuhkan persiapan hadapi peperiksaan akhir

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Muhammad Kamil Yazid
Gambar Kelab TaHa UUM/UUM Today

SINTOK, 1 Februari – Dalam kesibukan pelajar membuat persiapan menghadapi peperiksaan akhir semester, tidak menghalang mereka untuk terus mengimarahkan Masjid Sultan Badlishah dengan amal ibadah dan memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa.

Kira-kira lebih 600 pelajar telah menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Sempena Peperiksaan Akhir Semester A231 yang dianjurkan 25 Januari lalu.

Bacaan Yasin tersebut serta solat berjemaah telah dipimpin oleh wakil pelajar iaitu Hanif Adli dan Muhammad Zaid Sulaiman, Muhammad Zulfikhri sebagai muazzin, sementara tazkirah telah disampaikan oleh Dr. Mohammad Naim Abd. Halim.

Bertepatan dengan persiapan menduduki peperiksaan, Dr. Mohammad Naim telah menyampaikan perkongsian tips-tips sekiranya menghadapi tekanan dan kesukaran dalam memahami sesuatu bidang ilmu melalui pengalaman beliau sebagai pelajar satu ketika dahulu.

Selain itu, kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed turut menyerikan lagi program, sekali gus menyuntik semangat kepada pelajar yang hadir.

Menurut beliau, majlis ini diaturkan bagi menguatkan jiwa dan melapangkan minda pelajar dalam usaha mempersiapkan diri untuk menduduki peperiksaan akhir, selain mengukuhkan kebergantungan kepada Allah.

Katanya, ciri holistik ini yang universiti mahu kukuhkan dalam jiwa mahasiswa UUM.

Beliau turut menekankan bantuan yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar sekiranya pelajar memerlukan bantuan dari sudut sokongan psikologi, kaunseling serta pembangunan jasmani seperti Food Bank dan sebagainya.

Melalui komponen-komponen penting ini, pelajar UUM boleh memberikan fokus yang baik kepada mengulangkaji dan membaca bahan pembelajaran sebagai persiapan menduduki peperiksaan.

Program yang diaturkan dengan kerjasama Kelab TaHa, Rakan Siswa YADIM, Kelab DAMAI, Persatuan PENDIDIK dan Sahabat Masjid Sultan Badlishah ini disasarkan untuk menjadi medan memperbaiki hubungan dengan Allah serta peluang untuk menghilangkan tekanan atau ‘healing’ dalam tempoh waktu persiapan untuk peperiksaan akhir dengan hadir ke masjid yang penuh ketenangan.