UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

STEM Camp@Sintok 2023 pupuk minat murid dalami STEM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Dr. Rohana Mijan/UUM Today

SINTOK: Bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing dalam bidang sains serta teknologi khususnya dalam kalangan murid sekolah, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program STEM Camp@Sintok 2023 di Inapan Siswa MAS, UUM, baru-baru ini.

Program kerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma yang dijalankan selama dua hari itu berjaya membina kondusif simbiosis dalam kalangan pendidik dan murid untuk berkongsi ilmu pembangunan modal insan berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pengarah Projek, Abd Hadi Abd Razak berkata, kem tersebut disertai 74 murid daripada 13 sekolah rendah di seluruh negeri Kedah.

Menurutnya, penerapan kaedah yang bukan tradisional, lebih santai, kreatif dan menyeronokkan dalam pengisian program telah memberikan pengalaman dan ilmu baharu kepada peserta untuk mendalami ilmu STEM.

“Rata-rata peserta amat berpuas hati dengan aktiviti yang dijalankan seperti ceramah motivasi Sains dan Islam, sukaneka STEM, pertandingan Ace of Math, kodable dan ‘programming games‘ dalam suasana ‘campus life‘.

“Diharap mereka membawa balik pengalaman dan pengetahuan STEM yang telah dipelajari dan disebarluaskan kepada keluarga dan rakan-rakan. STEM adalah mudah dan lebih efektif lagi sekiranya ia sering dipraktiskan di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Digital Production and Servise (DProS), SMMTC, Prof. Madya Ts. Sobihatun Nur Abdul Salam berkata, program ini telah mencapai objektif serta mendapat maklum balas yang sangat positif daripada semua peserta, guru dan juga waris.

“Memandangkan kita mendapat maklum balas positif daripada mereka, DProS akan merancakkan lagi program seumpama ini pada masa yang akan datang agar lebih ramai lagi murid mendapat manfaat daripada program ini,” ujar beliau.

Guru Besar SK Sultanah Asma, Zuraimi Mansor berkata, peluang yang diberikan kepada peserta untuk berada di UUM dan menggunakan kemudahan serta prasarana yang sangat selesa mengujakan mereka, sekali gus memberi motivasi dan ransangan untuk lebih berusaha.

Tambahnya lagi, program sebegini perlu diperbanyakkan untuk meneruskan kesinambungan ilmu STEM di peringkat sekolah rendah lagi.

“Hubungan sebagai  rakan strategik di antara SK Sultanah Asma dan SMMTC sangat dihargai dan telah banyak membantu pihak  sekolah dalam usaha membudayakan STEM dalam pendidikan selaras dengan matlamat sekolah transformasi.

“Harapan semoga kolaborasi sebegini dapat diteruskan lagi di masa depan,” katanya. – Dr. Rohana Mijan/SMMTC