UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Subuh Mega 2.0 medan pelajar ‘healing’

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat islam/UUM Today

SINTOK: Dalam kesibukan pelajar membuat persiapan menghadapi peperiksaan akhir semester tidak menghalang mereka untuk terus mengimarahkan Masjid Sultan Badlishah dengan amal ibadah.

Kira-kira 600 pelajar telah menghadiri program Subuh Mega 2.0 anjuran Pusat Islam, baru-baru ini untuk beriktikaf di masjid bagi mengisi waktu dengan zikir munajat serta qiamullail berjemaah.

Penyelaras Masjid Sultan Badlishah, Mohd Firdaus Ahmat berkata, program ini sangat sesuai diadakan pada waktu ini ketika pelajar sedang ‘pulun’ mengulang kaji pelajaran dan pada masa sama mereka tidak melupakan untuk beribadah dan memanjatkan doa supaya seimbang kecemerlangan akademik dengan kejayaan dunia akhirat.

Menurutnya, ciri-ciri holistik ini yang universiti mahukan untuk mengukuhkan jiwa mahasiswa UUM.

Selain itu, kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed turut menyerikan lagi program, sekaligus menyuntik semangat kepada pelajar yang hadir.

Dalam ucapan beliau menyentuh soal kesungguhan pelajar dalam beribadah dan mengimarahkan masjid UUM.

“Meskipun hujan sejak awal pagi, saya melihat pelajar tetap bersungguh untuk hadir ke masjid bagi memeriahkan masjid kita ini.

“Saya berharap agar para pelajar sekalian teruskan semangat yang tinggi ini,” ujarnya.

Program yang diaturkan dengan kerjasama Sahabat Masjid Sultan Badlishah ini juga disasarkan untuk menjadi medan memperbaiki hubungan dengan Allah serta peluang untuk menghilangkan tekanan atau ‘healing’ dalam tempoh waktu persiapan untuk peperiksaan akhir dengan hadir ke masjid yang penuh ketenangan.

Selain itu, antara pengisian lain ialah sesi tazkirah khas yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie.

Tazkirah yang bertemakan hijrah itu menyentuh perihal kepentingan peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. dan kepentingan ilmu pengetahuan sebagai asas kepada sesebuah perubahan.

Kehadiran pelajar turut dihargai dengan pengiktirafan Anugerah INASIS Terbaik (Kehadiran Tertinggi) yang telah disampaikan oleh Dr. Ahmad Marthada yang menyaksikan INASIS Yayasan Albukhary dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut.