UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

‘Subuh Mega’ tarik lebih 1,000 pelajar solat berjemaah

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Pusat Islam

SINTOK: Kira-kira 1,300 pelajar dan staf telah mengimarahkan program Subuh Mega @ Masjid UUM anjuran Pusat Islam yang diadakan di Masjid Sultan Badlishah, baru-baru ini.

Program dimulakan pada jam 4.30 pagi dengan zikir munajat dan qiamullail sehingga masuk waktu Subuh, sebelum solat Subuh diimamkan oleh Ustaz Sharif Abdus Salam dengan bacaan Surah As-Sajadah.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, beliau bersyukur dan gembira dengan kejayaan Jawatankuasa Pelaksana berjaya mengumpul sejumlah besar pelajar untuk mengimarahkan masjid dan mendirikan solat secara berjemaah.

Ahmad Martadha berharap lebih ramai pelajar akan mengimarahkan masjid. Pusat Islam/UUM Today

Melalui ucapan perasmian yang disampaikan beliau itu, Ahmad Martadha berharap agar program tersebut dapat diteruskan dan diadakan di semua surau di dalam kampus.

“Mahasiswa UUM perlu berebut membuat kebaikan, terutamanya sejak di permulaan hari kerana hari yang berkat adalah yang dimulakan dengan kebaikan secara berjemaah,” katanya.

Ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam.” [Riwayat Muslim (656)].

Lebih 1,000 pelajar mengimarahkan masjid pada program Subuh Mega @ Masjid UUM. Pusat Islam/UUM Today

Dalam program tersebut, Pengarah Pusat Islam, Ustaz Zar Ei Zakaria turut menyampaikan tazkirah ringkas kepada hadirin yang menyentuh tentang tanggungjawab insan kepada Allah iaitu taat kepada perintah Allah serta sentiasa berusaha menjadi pemimpin dan contoh ikutan yang baik kepada orang lain.

Tambah beliau, Pusat Islam menerusi jawatankuasa masjid yang diketuai oleh Imam Masjid Sultan Badlishah, Ustaz Mohd Firdaus Ahmat sentiasa komited untuk menjayakan pelbagai agenda bagi menjayakan pelan strategik Pusat Islam 2022 dalam usaha mengimarahkan masjid itu.

Menurutnya, usaha ini membuktikan usaha jawatankuasa menarik jemaah mengimarahkan masjid bukan perkara yang mustahil.

“Kita sentiasa menekankan kepentingan berjemaah khususnya pada solat Subuh bagi menjadikan kita semua komited untuk mengimarahkan masjid pada setiap hari,” katanya.

Program kemudian diteruskan dengan solat Dhuha berjemaah dan diakhiri jamuan sarapan pagi kepada semua hadirin.