UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sukan Asasi Malaysia giat pertandingan kompetitif IPT

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK, 4 Mac – Kejohanan Sukan Asasi Malaysia 2024 (SAM2024) membuktikan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam cakna untuk menggiat pertandingan kompetitif di peringkat universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar berkata, kejohanan tersebut menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di samping menyediakan platform yang tepat bagi mengenal pasti atlet institusi pengajian tinggi (IPT) yang berbakat besar.

Menurutnya, sukan bukan sahaja menekankan aspek fizikal dan persaingan sihat, malah semangat keserakanan dalam membentuk hubungan yang harmoni dan kerjasama dalam kalangan peserta.

Dr. Mohd Shukor harap peserta hargai kepelbagaian dan bangun keupayaan tangani cabaran dengan penuh yakin dan berintegriti.

“Saya berharap peserta dapat menghargai kepelbagaian dan membangunkan keupayaan untuk menangani cabaran dengan penuh keyakinan dan integriti.

“Kecekalan dan kegigihan adalah kunci untuk mencapai kejayaan dalam sukan dan juga kehidupan harian,” katanya di Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Asasi Malaysia Edisi Ketujuh Tahun 2024 di Stadium Pusat Sukan UUM, semalam.

Sebanyak 15 kontinjen telah mengambil bahagian dalam 11 acara sukan yang dipertandingkan dari 2 hingga 3 Mac lalu.

Kontinjen UUM dengan maskot rusa berarak masuk ke dalam Stadium Pusat Sukan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Madya Dr. Laili Che Rose berkata, Sukan Asasi Malaysia merupakan pertandingan tahunan di bawah naungan Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam dan Matrikulasi sejak tahun 2018.

Menurutnya, Kejohanan SAM 2024 bagi Edisi Ketujuh kali ini melibatkan penyertaan daripada 13 pusat asasi universiti awam, wakil daripada Matrikulasi (Kolej Matrikukasi Kedah) dan penyertaan julung kalinya daripada wakil program Asasi TVET iaitu Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

“Sesungguhnya bukan mudah untuk melaksanakan kejohanan SAM yang melibatkan hampir 1,244 orang atlet dan pegawai daripada kontinjen pelbagai institusi.

“Penganjuran kejohanan SAM adalah untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, tetapi turut memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat pelajar pra-universiti dalam arena sukan, di samping membudayakan gaya hidup sihat,” katanya.

Gimik majlis perasmian penutup yang disempurnakan Dr. Mohd Shukor (tengah) dan Dr. Laili (tiga, kiri) di Stadium Pusat Sukan, semalam.

Pada majlis itu, johan keseluruhan dirangkul oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kutipan pingat 17 emas, enam perak dan lima gangsa; diikuti Universiti Malaya dengan tiga emas, tiga perak dan empat gangsa serta tempat ketiga dimenangi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan pungutan dua pingat emas, empat perak dan empat gangsa.

UUM berada di tangga ketujuh dengan kutipan satu pingat emas dan dua gangsa.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis dari Akim Ahmad dan Ara Johari yang menghiburkan semua tetamu dan peserta SAM 2024.

Kenangan peserta SAM 2024 bersama Dr. Mohd Shukor (tengah) dan Dr. Laili di Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Asasi Malaysia Edisi Ketujuh Tahun 2024 di Stadium Pusat Sukan, UUM.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) menjalankan tugas Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman dan pegawai-pegawai Majlis Dekan/Pengarah Universiti Awam dan UUM.