UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Sukan rakyat satukan ahli Chance Club UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Chance Club/UUM Today

SINTOK: Bagi mengembalikan kenangan permainan sukan rakyat, Chance Club Jabatan Canselori, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Program Sukan Rakyat Chance Club di Padang Memanah, Pusat Sukan, baru-baru ini.

Presiden Chance Club, Muzammil Mahmud berkata, program sukan rakyat itu bukan sahaja bertujuan menyatukan staf atau ahli kelab, malahan sebagai salah satu inisiatif mempromosikan sukan tradisional seterusnya mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, usaha ahli jawatankuasa kelab ini mengembalikan sukan rakyat dalam aktiviti bulanan wajar dipuji kerana telah berusaha untuk memartabatkan semula permainan tradisional dan sukan rakyat tersebut.

“Hanya dengan sedikit kreativiti, permainan tradisional dan sukan rakyat ini telah membuatkan semua ahli kelab gembira, ditambah pula pelbagai hadiah menarik disediakan,” katanya.

Pelbagai sukan rakyat telah dipertandingkan seperti ‘Musical Chair’, ‘Makin Jauh Makin Sayang’, ‘Makan Buah Epal’, ‘Cari Barang Tersembunyi’, ‘Nak Gula-gula’, ‘Boling Kelapa’, ‘Kupas Buah Epal’, ‘Teka Kacang’, dan ‘Mr. Pelikat & Mrs. Batik’.

Pemenang telah membawa pulang hadiah berupa barangan dapur seperti beras, minyak masak, gula, garam dan banyak lagi.

Sementara itu, ahli kelab, Abdul Amar Aris yang juga Penolong Pegawai Tadbir berkata, program ini merupakan wadah terbaik untuk mengeratkan silaturahim antara staf di Jabatan Canselori, selain dapat memanfaatkan peluang dan ruang masa yang ada untuk mengenali antara satu sama lain.

Pada program sama turut meraikan ahli yang menyambut hari lahir dari bulan April hingga September.

Pembantu Tadbir Kanan, Rossni Bakar yang diraikan juga melahirkan rasa bersyukur dan gembira kerana dapat menyambut hari lahirnya bersama rakan-rakan sekerja.

“Penglibatan sukan pada kali ini membuatkan saya berasa puas kerana dapat melakukan beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh kelab.

“Kepuasan ini tercapai kerana saya telah membawa pulang beberapa hadiah yang dimenangi. Saya juga berasa teruja dengan kejutan yang disediakan,” ujarnya. – Dania Nurfaghira Ahmad Nizan