UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SUKANUN tutup tirai, UUM tamat saingan di tempat kelima

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Umayr Azhar/UUM Today

ARAU: Karnival Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) 2023 melabuhkan tirainya di Dewan Seri Semarak, UiTM Perlis pada 10 September lalu apabila kontinjen Universiti Utara Malaysia berada di kedudukan kelima di antara universiti awam yang bertanding.

Kedudukan itu juga sekali gus meletakkan UUM di tangga ke-12 daripada 59 kontinjen yang bertanding selepas meraih 31 mata.

Kontinjen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) muncul juara dengan meraih 155 mata, diikuti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di tempat kedua dengan 149 mata, manakala Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kedudukan ketiga selepas mengumpul 113 mata.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed selaku Ketua Kontinjen SUKANUN 2023 mengucapkan sekalung tahniah atas pencapaian dan komitmen yang diberikan kepada semua atlet terlibat.

Menurutnya, meskipun berada di tempat ke-12, namun UUM tetap unggul dengan berada di kedudukan kelima dalam kalangan universiti awam yang bertanding.

“Terus tingkatkan usaha untuk memartabatkan sukan UUM bukan sahaja di peringkat IPT, malahan di peringkat kebangsaan.

“Saya berterima kasih kepada Naib Canselor yang sentiasa menyokong dalam usaha kita memartabatkan agenda sukan universiti,” katanya. 

Dalam 22 acara sukan dipertandingkan, UUM telah mempertaruhkan 13 pasukan bagi acara hoki dewan, tenis, badminton, bola sepak, pingpong, karom, futsal, bola jaring, tenpin boling, catur, basikal criterium, golf, sepak takraw dan dart.

Pasukan hoki dewan, tenis berpasukan dan badminton berpasukan berjaya melangkah sehingga ke peringkat suku akhir.

Manakala pasukan bola sepak memberi cabaran di pusingan ke-3 dan pasukan pingpong berpasukan, karom berpasukan, futsal dan bola jaring berada di pusingan ke-2.

Pasukan tenpin boling berpasukan menduduki tempat ke-10, catur berpasukan di tempat ke-9, basikal criterium di tempat ke-4 dan pasukan golf kategori Gross tempat ke-4, manakala Nett ke-7.

Pasukan sepak takraw dan dart memberi saingan di peringkat kumpulan.