UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SULAM di Kampung Pulau Pisang angkat tema Kelestarian Warisan Alam Mendepani Urbanisasi

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Aida Rasyidah Ahmad Muaen

Gambar STHEM/UUM Today

JITRA, 24 Januari – Seramai 61 pelajar Kursus Pengemasan (GHOT 3043) dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama pensyarah menyantuni pengusaha inap desa di Kampung Pulau Pisang dalam usaha memberi kesedaran tentang pengurusan sisa pepejal domestik demi kelestarian alam sekitar.

Pensyarah kursus, Muhammad Fauzi Mokhtar berkata, program selama 2 hari dan 1 malam yang dilaksanakan melalui inisiatif SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) dengan tema Kelestarian Warisan Alam Mendepani Urbanisasi bertujuan untuk membimbing pelajar kursus mendekati komuniti setempat bagi pembangunan holistik modal insan mereka melalui kerangka lingkaran tiga pihak melibatkan pelajar kursus, modul kursus dan komuniti setempat.

Menurutnya, program dimulakan dengan pembahagian pelajar kepada beberapa kumpulan keluarga angkat, taklimat ringkas tentang program, disusuli dengan acara utama melibatkan sesi kesedaran tentang alam sekitar dan sisa pepejal oleh pelajar, sebelum melaksanakan program gotong royong di kawasan sekitar pada hari esoknya.

Selain itu, katanya, ceramah turut disampaikan oleh pihak e-Idaman Kubang Pasu dan ‘Trash Hero’ Sintok usai acara gotong royong, disusuli dengan pembelian sisa pepejal yang boleh dikitar semula oleh pihak e-Idaman. Hasil jualan telah diinfaqkan untuk masjid kampung tersebut dan wang itu diserahkan kepada ketua kampung sebagai wakil masjid.

Pengarah program, Nornatasha Ishak dari program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti berkata, program yang dijalankan ini amat bermanfaat bukan sahaja kepada penduduk kampung bahkan juga kepada pelajar bagi memastikan alam sekitar menjadi warisan berharga untuk generasi akan datang walaupun berdepan dengan cabaran urbanisasi.

“Mengurus sisa pepejal secara sistematik sangat mencabar kerana sampah sentiasa dihasilkan setiap hari, kita perlu mewariskan alam sekitar yang bersih dan terjaga kepada generasi akan datang, jadi kesedaran sebegini sangatlah penting,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Inap Desa Kampung Pulau Pisang, Noriah Bakar turut menzahirkan rasa terima kasih kerana UUM memilih kampung tersebut untuk melaksanakan program SULAM ini.

Menurut beliau, pengusaha inap desa khususnya dan penduduk kampung amnya sangat memerlukan pengetahuan sebegini sebagai nilai tambah bagi memastikan aspirasi negara dapat dihayati dan seterusnya diamalkan demi kepentingan bersama.

“Program seperti ini amat sesuai dilaksanakan di kampung kampung bagi memastikan kami tidak ketinggalan dalam menyahut seruan kerajaan, tambahan alam sekitar bukan kita boleh hasilkan semula, jadi kita perlu jaga untuk masa depan.

“Pengalaman ini sangat berguna untuk orang kampung terutamanya kerana kadang kala orang kampung terpinggir dari mendapat pengetahuan tentang sampah dan sisa pepejal yang boleh dikitar semula yang nanti dibeli oleh e-Idaman. Terima kasih kerana sudi mengadakan program dengan kami,” katanya.