UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SULAM di SMK Bandar Baru Sintok

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar STML/UUM Today

SINTOK: Seramai 45 pelajar Program Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama pensyarah menyantuni pelajar-pelajar sekolah Tingkatan Empat dan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok dalam usaha memberi kesedaran keselamatan menunggang motosikal dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Pensyarah kursus, Dr. Wadi Khalid Anuar berkata, Program SULAM yang dilaksanakan melalui kursus Urban & Rural Transport (BPMG3033) di bawah Jabatan Logistik ini bertujuan untuk membimbing pelajar kursus mendekati komuniti setempat di SMK Bandar Baru Sintok bagi menyempurnakan pembangunan holistik model insan mereka melalui kerangka lingkaran tiga pihak atau ‘Triple Helix’ melibatkan pelajar kursus, modul kursus dan komuniti setempat.

Menurutnya, program dimulakan dengan taklimat ringkas kepentingan memakai topi keledar ketika menunggang motosikal, disusuli dengan acara utama melibatkan reruai kesedaran keselamatan yang dikendalikan oleh pelajar kursus secara berkumpulan.

Selain itu acara demonstrasi keselamatan memakai topi keledar melibatkan pelajar kursus dan murid-murid sekolah menggunakan buah tembikai dan acara pertandingan poster turut dilaksanakan bagi memeriahkan lagi program SULAM tersebut.

Tinjauan sepanjang acara mendapati murid sekolah turut berinteraksi sepanjang taklimat dalam memberikan pendapat dan berkongsi pengalaman menunggang motosikal ke sekolah.

Selain itu mereka turut teruja menyertai acara poster, dan permainan-permainan serta kuiz yang dirangka oleh pelajar kursus. Antara yang menjadi tarikan murid-murid sekolah adalah aplikasi realiti maya yang disediakan bagi menempatkan diri mereka sendiri menunggang motosikal di alam maya sebelum terlibat di dalam kemalangan akibat kecuaian menunggang motosikal.

Guru Kanan SMK Bandar Baru Sintok, Nurlizan berkata, program yang dijalankan ini amat bermanfaat buat murid sekolah terutamanya yang menunggang motosikal ke sekolah.

Menurutnya, murid-murid ini dapat melihat dengan lebih dekat pelajar dan pensyarah universiti serta aktiviti-aktivit yang dijalankan ketika menuntut ilmu di universiti.

“Ini turut memberi motivasi kepada para murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua, Shamsudin Aroff turut menzahirkan rasa terima kasih kerana memilih SMK Bandar Baru Sintok untuk melaksanakan program SULAM ini.

Menurut beliau, hubungan rapat di antara UUM dan SMK Bandar Baru Sintok telah memberi nafas baru kepada murid-murid sekolah dalam menghayati kepentingan menunggang motosikal secara berkhemah.

“Justeru, program seperti ini amat wajar dilaksanakan kerana ia berpotensi dapat menyelamatkan murid-murid sekolah daripada sebarang kemalangan yang dapat dielak.

“Program ini bukan saja membuka mata mereka terhadap realiti masyarakat setempat yang tidak mereka ketahui sebelum ini, malah murid-murid ini amat gembira kerana dapat menyampaikan ilmu yang dipelajari dan berharap agar apa yang dikongsi dapat melindungi mereka ini ketika menunggang motosikal,” katanya. – Dr. Wadi Khalid Anuar