UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SULAM didik masyarakat jaga alam sekitar

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Kulim: ‘Service-Learning Malaysia University for Society’ (SULAM) mendidik masyarakat agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar serta mengurus sisa pepejal secara efektif.

Pensyarah Kursus GHOT3043 Housekeeping, Muhammad Fauzi Mokhtar berkata, penduduk bersama-sama dengan pelajar telah melakukan proses pengumpulan dan pengasingan sisa pepejal yang dikumpulkan sekitar kawasan kampung.

“Sukarelawan menimba pengalaman berharga dalam usaha mendekati komuniti apabila bersama-sama penduduk kampung mengutip sampah di persekitaran kampung.

“Usaha ini sebagai inisiatif khidmat masyarakat sebagai tanda kita sayangkan alam dengan kerana setiap individu bertanggungjawab memastikan kebersihan alam,” ujarnya. 

Jelasnya, ‘Service-Learning Malaysia University for Society’ (SULAM) melibatkan 61 pelajar daripada kursus GHOT3043 Housekeeping semester A222 dengan kerjasama Students Club of Hospitality (SCOHOST), Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM).

Katanya, pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dengan nama program ‘Helping Hands make Happy Heart’ di Kampung Sedim, Kulim manakala bagi kumpulan B dengan nama program ‘From University to Community’ yang berlangsung di Kampung Raga, Yan.

Program SULAM turut melibatkan syarikat pembersihan di Negeri Kedah iaitu Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) dan Trash Hero Sintok untuk memberi   pendedahan kepada penduduk kampung tentang kesan negatif sisa pepejal kepada alam sekitar. 

Dalam pada itu, pelajar teruja meluangkan masa bersama penduduk kampung dengan melakukan aktiviti seperti sukan rakyat, demonstrasi pembuatan kraftangan, pembuatan kuih tradisional dan pemprosesan kopi tumbuk yang merupakan salah satu produk penghasilan daripada kampung tersebut.

Manakala sukarelawan Trash Hero Sintok yang juga lulusan Sarjana Muda Undang-undang UUM dan bertugas sebagai peguam, Nur Ain Fadilla memberikan taklimat tentang Trash Hero dan pengurusan sisa pepejal kepada penduduk agar memahami dengan lebih mendalam.

Menurutnya, Trash Hero dikendalikan oleh sukarelawan untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar.

“Tindakan kita memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjaga alam sekitar dan mengubah sikap mereka. Perubahan ini akan merebak ke seluruh lapisan masyarakat supaya kita semua dapat hidup di dunia bebas dari pencemaran.

“Kami mengasingkan sampah yang dikutip dan menyerahkan sisa yang boleh dikitar semula kepada syarikat pengurusan sisa untuk dikitar semula misalnya kertas, kaca dan logam,” ujarnya yang juga Alumni UUM.

Pelajar turut menjalankan “Cleaning-up Session” bersama pihak E-Idaman yang turut serta dalam program tersebut untuk memberikan pendedahan awal mengenai pengurusan sisa pepejal bersama penduduk setempat.

Di samping itu, penduduk kampung dan pelajar turut didedahkan dengan idamanXchange iaitu program kitar semula yang memberi ganjaran melalui proses jual beli sisa pepejal yang telah dikumpulkan. 

Mereka berjaya mengumpul 135 kilogram sisa pepejal yang diasingkan mengikut jenis sampah yang boleh dikitar semula dengan bayaran RM57 seterusnya disumbangkan kepada surau Kampung Raga.