UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

SULAM perkasa kesedaran bahasa sopan di media sosial

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar SLCP/UUM Today

BUKIT KAYU HITAM: Kemajuan teknologi yang pesat pada hari ini telah menghasilkan banyak wahana komunikasi yang bermanfaat kepada kehidupan manusia sejagat, termasuklah media sosial yang bukan sahaja memudahkan penyampaian maklumat dalam masa yang singkat, bahkan ia turut membantu mengeratkan hubungan manusia daripada pelbagai lapisan masyarakat dan dari lokasi yang berbeza.

Meskipun media sosial mempunyai banyak kelebihan, umum mengetahui bahawa media ini turut mempunyai sisi yang negatif, terutama sekali dalam mengubah gaya berkomunikasi penutur bahasa. Terkini, isu ketidaksantunan berbahasa dalam media sosial telah mula mendapat perhatian ramai di tanah air termasuklah pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).    

Isu yang perlu ditangani dengan serius ini menjadi tunjang yang mendasari Program ‘Service Learning Malaysia-University For Society‘ (SULAM) anjuran pelajar semester lima program Sarjana Muda Sastera Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah di pekarangan Masjid Al-Muhajirin, Bukit Kayu Hitam.  

Program SULAM yang bertemakan Suluhan Kasih Bermakna (SUKMA) di bawah kursus Pragmatik yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam bermatlamat untuk mengaplikasikan ilmu serta teori pragmatik yang dikuasai pelajar sepanjang semester A231.  

Program yang mendapat kerjasama daripada ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Temin Zon A dan ahli jawatankuasa Masjid al-Muhajirin, Bukti Kayu Hitam ini telah dirasmikan oleh Sarjan Mohd Redzuan Husain, wakil Ketua Polis Balai (KPB), Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan turut dihadiri oleh Pengerusi KRT, Taman Seri Temin Zon A, Rosli Ismail dan wakil Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail.

Antara aktiviti menarik yang dianjurkan dalam program ini ialah forum yang bertajuk “Bijak berkata di ruang digital: Mengatasi cabaran bahasa kurang sopan di media sosial” yang dipengerusikan oleh Nor Hamidah Amran, pelajar semester lima program BLIT.

Ahli panel forum yang terdiri daripada Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Yusof Ariffin dan pelajar program doktor falsafah dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu Kontemporari, Any Rozita Abdul Mutalib telah mengupas isu penggunaan kata terlarang di media sosial serta implikasi ketidakpatuhan penggunaan kata yang bersesuaian di media ini.

Hadirin turut didedahkan dengan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa terlarang di media, khususnya Seksyen  233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Selain forum, pameran empat kiosk utama pembelajaran, bengkel penggunaan aplikasi canva, dan aktiviti rangsangan minda pelajar bersama masyarakat turut diadakan dalam program yang melibatkan penduduk di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam. – Na’jah Najihah Mohamad Lot